fbpx

Malaysia minta AS serah sebahagian denda Goldman Sachs AS$2.9 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari Ghani.

PETALING JAYA – Kerajaan Malaysia meminta Amerika Syarikat (AS) agar menyerahkan sebahagian daripada denda dan penalti sebanyak AS$2.9 bilion (RM13.76 bilion) yang dibayar oleh Goldman Sachs berhubung peranannya dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam satu kenyataan kepada FMT, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Khas Pemulihan Aset 1MDB, Datuk Seri Johari Ghani berkata, Malaysia berhak menerima sedikit pampasan daripada jumlah yang dibayar oleh bank pelaburan berpangkalan di New York itu kepada pihak berkuasa AS.

“Kami menghargai usaha kerajaan AS dalam pemulihan dan penghantaran pulang dana 1MDB, tetapi (jumlahnya) jauh kurang daripada AS$4.5 bilion yang dicuri daripada rakyat Malaysia.

“Bagaimanapun, (Malaysia) berada dalam keadaan yang tidak menguntungkan, berbanding Goldman Sachs,” jelasnya.

Beliau berkata, bank itu akan dapat kembali menjalankan perniagaan seperti biasa manakala Malaysia akan terus dibebani dengan bayaran prinsipal dan faedah atas bon tersebut.

“Malaysia akan mengambil masa bertahun-tahun, jika bukan berdekad, untuk menyelesaikan hutang 1MDB yang akan menggunakan wang pembayar cukai,” katanya.

Goldman Sachs terlibat mengatur penjualan bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion (RM30.8 bilion) dan membenarkan AS$4.5 bilion (RM21.5 bilion) diseleweng, sambil memperoleh fi berjumlah AS$600 juta (RM2.8 bilion).

Johari berkata, jumlah penyelesaian yang dipersetujui antara Goldman Sachs dan pentadbiran Muhyiddin Yassin empat tahun lalu tidak cukup untuk menampung kerugian disebabkan oleh ‘kegiatan penipuan yang dibolehkan berlaku dengan bantuan Goldman Sachs’.

“Jumlah penalti AS$2.9 bilion yang dibayar oleh Goldman Sachs kepada kerajaan AS lebih daripada penyelesaian tunai AS$2.5 bilion yang dibayar kepada kerajaan Malaysia, tidak termasuk jaminan pemulangan aset AS$1.4 bilion (RM4.74 bilion) dikaitkan dengan bon 1MDB yang masih dipertikaikan,” jelasnya.

Beliau berkata, Malaysia akan terus menuntut tunggakan AS$1.4 bilion yang perlu dibayar bank itu menurut perjanjian penyelesaian. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI