PETALING JAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq mendedahkan mempunyai banyak panggilan manja buat tunangnya yang juga penyanyi Bella Astillah sepanjang tempoh perkenalan mereka.
Menurut Syed Saddiq, 33, terlalu banyak nama panggilan yang diberikan kepada Bella yang baginya tidak perlu dikongsikan kepada umum.
“Banyak nama panggilan saya beri kepada Bella. Panggilan-panggilan yang rahsia, kalian tidak perlu tahulah.
“Nama panggilan yang telah dikongsi bagi tatapan umum ada ‘Grumpy Munchkin’ dan ada banyak lagi,” katanya dalam siaran langsung TikTok.
Dalam masa sama, Syed Saddiq memberitahu rasa cinta antara mereka bukan hanya terjalin dengan nama panggilan sebaliknya dengan melakukan rutin atau aksi yang boleh mengukuhkan lagi kasih sayang.
“Ya, sebenarnya memang ada banyak nama panggilan.
“Kami paparkan kasih sayang dengan banyak cara, bukan hanya dengan nama panggilan terhadap satu sama lain tetapi juga dengan tindakan.
“Kadang-kadang tunjuk kasih sayang dengan sebarang tindakan adalah jalan terbaik berkongsi cinta,” ujarnya.
Dia berkata demikian bagi menjawab pertanyaan netizen mengenai nama panggilan yang diberikan kepada bakal isterinya.
Terdahulu, selepas lebih dua bulan dilamar, Bella sah bergelar tunang kepada Syed Saddiq dalam sebuah majlis tertutup di Bamboo Hills, Hulu Kelang pada 28 Mac lalu.
Meski hanya khabar angin, pasangan tersebut didakwa bakal melangsungkan perkahwinan pada bulan Jun depan. – KOSMO! ONLINE














