fbpx

Remaja maut bergesel lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
tangkap layar video kejadian seorang penunggang motosikal dipercayai bergesel dengan sebuah lori di KM13.9, Lebuh Raya BKE menghala ke Seberang Jaya, semalam.

SEBERANG PERAI – Seorang remaja maut dalam keadaan menyayat hati apabila motosikal yang ditunggang dipercayai bergesel dengan sebuah lori di Kilometer (KM) 13.9 Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE), menghala ke Seberang Jaya dari Kulim di Kedah, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah hari itu, mangsa berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, hasil siasatan awal mendapati penunggang motosikal terbabit merupakan warga tempatan.

Menurutnya, kejadian berlaku dari arah sama mengakibatkan mangsa dan motosikal terbabas ke sebelah kiri jalan raya berkenaan.

“Mangsa telah mengalami kecederaan parah pada bahagian tangan dan kaki serta disahkan meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya semasa menerima rawatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 27 saat menunjukkan penunggang motosikal terbabit dihimpit hingga ke pembahagi jalan ketika cuba memotong sebuah lori semasa berada di lebuh raya berkenaan.

Akibat kejadian itu, mangsa dilihat merempuh pembahagi jalan sebelum terpelanting kira-kira lima meter. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI