AKTA Laut Wilayah 2012 kembali menjadi polemik apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu meluluskan usul menolaknya pada 25 April lalu.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memberitahu, penolakan akta yang telah diluluskan di Parlimen sejak 12 tahun itu merupakan usaha kerajaan negeri untuk mendapatkan kembali hak royalti minyak.
Rasionalnya mudah, royalti minyak ditafsir bukan lagi hak mutlak kerajaan Terengganu berikutan sempadan maritim sesebuah negeri di negara ini ditetapkan cuma tiga batu nautika atau 5.5 kilometer (km) dari kawasan pantai oleh Akta Laut Wilayah 2012.
Kesemua pelantar minyak di negeri tersebut terletak lebih lima batu nautika atau 9.26 km dari pesisir pantai.
Polemik timbul apabila Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lagi menyalurkan keseluruhan royalti minyak atau dikenali Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) ke akaun kerajaan Terengganu seperti kelaziman sejak tahun lalu.
Sebaliknya Kementerian Kewangan hanya menyerahkan sebahagian sahaja dan selebihnya disalurkan secara terus kepada rakyat Terengganu menerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri.
Mekanisme baharu itu sudah pasti tidak digemari kerajaan negeri yang selama ini amat bergantung dengan DKKP.
Sejak 1978, sekurang-kurangnya 85 peratus pendapatan tahunan kerajaan negeri Terengganu bergantung dengan royalti minyak.
Dalam Belanjawan 2024 yang diluluskan akhir tahun lalu misalnya, RM1. 610 bilion atau 86.56 peratus daripada keseluruhan RM1.860 bilion hasil yang diunjur diperoleh kerajaan negeri Terengganu pada tahun ini adalah DKKP.
Pendapatan lain sama ada hasil cukai dan bukan cukai diunjur diperoleh Terengganu pada tahun ini pula cuma dianggarkan RM249.07 juta.
Mengulas penolakan Akta Wilayah 2012, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Maritim Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Wan Mariam Wan Abdullah menganggap usul tersebut tidak memberi kesan besar terhadap perjuangan Kerajaan Negeri Terengganu untuk menerima semula sepenuhnya royalti minyak.
Pakar undang-undang laut antarabangsa dan maritim itu menjelaskan, ketetapan 12 batu nautika atau 22.22 km sempadan maritim negara dan 5.5 km sempadan maritim negeri bukan perkara baharu dan ia sebenarnya disalin daripada Ordinan 7 Darurat 1969 sewaktu Akta Laut Wilayah 2012 yang telah digubal untuk menggantikannya.
“Undang-undang itu sah diguna pakai di semua negeri termasuk Terengganu. Ia juga tidak bertentangan dengan hak negeri-negeri yang ditetapkan dalam Jadual 9, Perlembagaan Malaysia.
“Akta Laut Wilayah 2012 juga selari dengan Kanun Tanah Negara 1965 walaupun tafsiran jarak pesisir pantai yang menjadi milik kerajaan negeri tidak dijelaskan secara terperinci dalam kanun tersebut,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Wan Mariam berkata, Perlembagaan Malaysia yang merupakan tafsiran tertinggi undang-undang negara juga menggariskan semua aktiviti di perairan negara kecuali jeti sehingga 200 batu nautika atau 370.4 km dari pesisir pantai diuruskan kerajaan Persekutuan.














