fbpx

K2

Simbolik karya kolaj lestari gergasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anisa (dua dari kiri) bersama Pengerusi CIMB Group, Datuk Mohd. Nasir Ahmad (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Datuk Abdul Rahman Ahmad (dua dari kanan) serta wakil-wakil daripada Malaysia Book of Records.

BERMULA sejak seabad lalu iaitu pada tahun 1924, CIMB Malaysia yang dikenali sebagai Bian Chiang Bank pada masa itu telah bertapak dalam dunia perbankan. CIMB, sebuah entiti dunia perbankan dan kewangan telah merentasi evolusi serta transformasi dalam usaha untuk kekal bertahan dan menempa kejayaan sehingga hari ini.

Bermula di Kuching, Sarawak hingga ke seluruh Malaysia, kini CIMB telah menjadi salah satu bank yang memiliki rangkaian cawangan runcit paling luas di Asia Tenggara dengan 601 cawangan.

Selain unggul dalam dunia perbankan, CIMB juga sentiasa menitikberatkan kebajikan kakitangan, pelanggan dan bakat-bakat muda menerusi strategi Forward23+ CIMB Group yang dikenali sebagai Enabling Talent, Passion, Integrity & Accountability, Collaboration, and Customer Centricity (EPICC).

Sempena kempen sepanjang tahun 100 years and more dan proposisi penjenamaan CIMB – ‘Melangkah Ke Hadapan Bersama’, bank tersebut telah bekerjasama dengan artis kolaj tempatan, Anisa Abdullah untuk menghasilkan Karya Seni Kolaj Perpaduan EPICC. Kolaj seni unik kreatif itu telah mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records untuk Peserta Terbanyak dalam Projek Pembentukan Seni Komuniti.

Kolaj ini juga merupakan simbolik kepada nilai CIMB yang menyokong aspirasinya untuk menjadi bank terkemuka yang berfokuskan ASEAN dengan kebajikan dan kesejahteraan pekerja diutamakan.

Menurut Anisa, pembuatan kolaj ini juga berkonsep melestari alam sekitar dengan penggunaan bahan mapan yang diperoleh di gudang CIMB seperti angpau atau paket wang raya, risalah, laporan tahunan lama dan reben.

“Bahan-bahan yang digunakan untuk mencipta karya seni ini terdiri daripada kertas majalah, kemeja-T CIMB, payung, reben sepanduk, kertas indeks dan poster.

“Bahan-bahan ini kemudiannya dipilih untuk menjadi sebahagian daripada karya seni ini yang kemudian dipotong kepada pelbagai bentuk dan saiz. Karya seni yang besar ini terdiri daripada beribu-ribu keratan kertas di dalamnya,” katanya menerusi satu temu bual bersama CIMB Malaysia.

Tambahnya yang mengetuai projek itu, Karya Seni Kolaj Perpaduan EPICC itu mengambil masa lebih 100 hari untuk disiapkan di beberapa lokasi. Seramai lebih 650 peserta termasuk kakitangan CIMB sendiri juga telah mengambil bahagian dalam menyempurnakan karya seni tersebut.

Karya tersebut menjadi lebih istimewa dengan penglibatan Raja Permaisuri Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan bermurah hati meletakkan kolaj pertama pada pelancaran CIMB Artober Art & Soul 2023 lalu sewaktu masih bergelar Raja Permaisuri Agong.

ANISA

Karya kolaj tersebut mengandungi kisah visual masa lalu, kini, masa depan serta ikon dan simbol berkaitan CIMB seperti maskot CIMB, OCTO dan burung enggang sebagai tanda permulaan CIMB.

Berkongsi tentang inspirasi dalam pembuatan kolaj tersebut, kata Anisa, perkara pertama yang terlintas di fikirannya untuk konsep ini adalah bahan kitar semula itu sendiri.

“Memandangkan ia adalah sekeping besar 5.4 meter (m) x 3.6m, kami memutuskan untuk membuat konsep teka-teki kotak yang terdiri daripada 24 keping bersaiz 91.4 sentimeter (sm) x 91.4sm setiap satu.

“Kami juga ingin menggalakkan komuniti menyumbang kepada karya seni ini, jadi konsep teka-teki ini adalah idea terbaik. Setiap bahagian menceritakan kisah berbeza dan apabila mereka digabungkan bersama, cerita itu lengkap, ia mengenai perjalanan dan pencapaian CIMB di negara kita yang tercinta, Malaysia,” ujarnya.

Tambahnya, pilihan CIMB untuk penghasilan seni kolaj ini merupakan satu usaha yang bukan saja mewujudkan kesedaran tentang sisa dan kitar semula dalam alam sekitar tetapi juga memberi inspirasi kepada dirinya sebagai seorang artis untuk lebih kreatif.

Katanya lagi, rakyat Malaysia juga sudah mula sedar tentang kepentingan menjaga alam sekitar.

“Seni dan kreativiti boleh membantu meningkatkan kesedaran tentang isu alam sekitar dan memberi inspirasi kepada orang ramai untuk mengambil tindakan.

“Seni adalah medium yang berkuasa untuk mengekspresikan emosi, idea dan visi,” kongsinya.
Dalam usaha untuk terus memacu industri seni kreatif, Anisa sekali lagi akan bekerjasama dengan CIMB untuk menampilkan karya seni beliau dalam CIMB Artober Hotel Art Fair yang akan berlangsung dari 28 hingga 30 Jun ini di Four Points by Sheraton.

Hotel Art Fair pada tahun ini akan menampilkan 16 galeri seni tempatan dan satu galeri seni antarabangsa dari Jepun. CIMB Artober Art & Soul pula dijangka berlangsung dari 24 hingga 27 Oktober di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI