WASHINGTON – Raja Charles III melontarkan sindiran balas kepada Presiden Donald Trump dalam majlis makan malam negara di White House semalam apabila baginda memberitahu bahawa tanpa kerajaan British, rakyat Amerika Syarikat sekarang ini akan bertutur menggunakan bahasa Perancis.
Semasa ketua-ketua negara bertukar-tukar jenaka dalam majlis tersebut, Raja Charles merujuk komen Trump sebelum ini membidas Eropah yang dituduh beliau ‘menumpang’ dalam aspek pertahanan sejak Perang Dunia II.
“Tuan Presidan, anda baru-baru ini mengulas bahawa jika bukan kerana Amerika Syarikat, negara-negara Eropah akan bertutur menggunakan bahasa Jerman.
“Saya berani katakan, jika bukan kerana kami, anda pula akan bertutur dalam bahasa Perancis,” kata Raja Charles.
Baginda merujuk kepada tempat-tempat yang mempunyai asal usul British dan Perancis di Amerika Utara, di mana kuasa kolonial terbabit berperang untuk menguasai Benua Amerika sebelum kemerdekaan AS, 250 tahun yang lalu.
Pada sidang kemuncak Davos Januari lalu, Trump berkata bahawa tanpa bantuan AS dalam Perang Dunia Kedua, ‘anda semua akan bertutur dalam bahasa Jerman dan sedikit Jepun’.
Bagaimanapun, ucapan ringan Raja Charles mencerminkan suasana mesra ketika baginda dan Trump menjalinkan hubungan ‘istimewa’ antara London dan Washington, walaupun terdapat ketegangan mengenai perang di Iran. – AFP














