WASHINGTON – Presiden Donald Trump kelmarin mengancam mengenakan tarif dan melancarkan siasatan perdagangan rasmi ke atas Kesatuan Eropah(EU) selepas Brussels mengenakan penalti terhadap enjin carian Google.
Dalam kenyataan di platform Truth Social, Trump berkata, EU ‘akan menerima padah untuk tingkah laku yang menyalahi undang-undang dan sangat tidak beretika, yang mana saya telah secara konsisten memberi amaran kepada mereka’.
Menurut Trump, beliau akan ‘segera memulakan Siasatan 301’ terhadap apa yang didakwa sebagai amalan EU merompak syarikat-syarikat Amerika. Beliau juga akan menguatkuasakan tarif tinggi ke atas blok tersebut seawal mungkin.
“Amerika Syarikat bukan ‘TABUNG’ untuk Eropah, dan kami tidak akan membenarkan ini berlaku,” katanya.
Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974 membolehkan Washington menyiasat amalan asing yang dianggap sebagai diskriminasi dan membalasnya dengan tarif.
Ancaman Trump datang sehari selepas White House mengumumkan tarif baharu tinggi antara 10 peratus hingga 12.5 peratus, menyasarkan 60 rakan dagangan Washington termasuk EU.
Pada Khamis lalu, Suruhanjaya Eropah pada Khamis mendenda Google sebanyak AS$1 bilion (RM4 bilion) kerana melanggar Akta Pasaran Digital (DMA), undang-undang penting EU bagi mengawal selia tingkah laku platform dalam talian yang dominan.
Ia adalah penalti pertama dikenakan ke atas Google di bawah undang-undang tersebut.
Menurut suruhanjaya berkenaan, Google didapati memihak kepada perkhidmatan beli-belah, hotel, pengangkutan dan sukannya sendiri dalam hasil carian serta menghalang pembangun aplikasi daripada mengarahkan pengguna ke tawaran yang lebih murah di luar gedung Google Play. – AFP














