LANGKAWI, Kedah merupakan pulau yang kaya dengan keindahan alam semula jadi, warisan budaya dan cerita legenda tempatan.
Dalam konteks seni dan kreativiti, Langkawi turut berperanan sebagai sumber inspirasi kepada para seniman, penulis dan pengkarya dari dalam serta luar negara.
Sehubungan itu, diinspirasikan oleh aura romantis kota seni seperti Paris, Perancis, program Visual Diary: Night in Langkawi 2.0 International Art Camp 2025 telah diadakan di Langkawi.
Pulau Legenda itu menjadi destinasi seni bertaraf global yang kaya dengan naratif budaya dan keindahan alam.
Menurut Pengasas Capital Fine Art, Sharon Lok, Langkawi bukan sekadar lokasi pelancongan, malah diangkat sebagai ruang kreatif yang menyatukan seni, budaya dan inspirasi dalam suasana tropika.
“Melalui pendekatan visual diary, para seniman dijemput merakam pengalaman peribadi mereka yang merangkumi emosi, landskap dan pertemuan budaya dalam bentuk karya visual autentik serta reflektif.
“Menghimpunkan 45 lukisan seniman dari dalam dan luar negara, kem seni ini menjadi platform interaksi yang subur untuk pelbagai latar belakang budaya,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.
Tambahnya, sepanjang program, peserta mendalami keindahan semula jadi Langkawi serta warisan budayanya yang unik, lalu menterjemahkan pengalaman tersebut ke dalam lukisan, lakaran serta karya kontemporari.
Pendekatan itu bukan sahaja menggalakkan ekspresi artistik, malah membuka ruang dialog kreatif dan pertukaran idea yang memperkayakan perspektif seni global.

Inisiatif itu bermula pada tahun 2019 menerusi edisi pertama yang digerakkan oleh Mohamad Najib Ahmad Dawa ketika beliau menerajui Lembaga Seni Visual Negara.
Pada peringkat awal, program itu bertujuan menghimpunkan seniman tempatan untuk mendokumentasikan inspirasi artistik di Langkawi.
Namun, sambutan positif dan semangat kolaboratif yang terhasil telah mendorong evolusinya ke peringkat antarabangsa.
Transformasi itu dipacu oleh visi Raja Fadzilah Raja Brima Sulong yang memperluaskan penyertaan kepada artis global, sekali gus menjadikan program berkenaan medan seni rentas budaya.
Kongsi Sharon lagi, karya diketengahkan dalam edisi kali ini memperlihatkan kepelbagaian pendekatan artistik yang lahir daripada pengalaman langsung di pulau tersebut.
“Misalnya, karya pelukis Mongolia, Davaasambuu Batnasan merakam suasana penempatan pesisir pantai dengan sentuhan ekspresif yang menekankan cahaya, pergerakan dan emosi.
“Dengan langit kuning yang dramatik dan refleksi air yang memantulkan kehidupan seharian, karya ini menggambarkan keharmonian antara manusia dan alam dalam suasana yang magis,” ujarnya.

Sementara itu, karya Ugat (Root) oleh Janos Delacrus menampilkan naratif falsafah tentang asal-usul dan hubungan budaya.
Aliran warna yang menyerupai akar atau sungai menjadi simbol kesinambungan antara identiti diri, alam dan pengalaman kolektif.
Elemen seperti burung, bunga serta bentuk geometri mencerminkan dialog antara alam semula jadi dan struktur kehidupan manusia, sekali gus mengangkat tema keterhubungan merentas sempadan.
Karya Tarian Dayang Bunting oleh Mustafa Mahmud pula memberi penghormatan kepada mitos tempatan dengan pendekatan abstrak penuh tenaga.
Figura yang terbentuk secara gestural menggambarkan gerakan tarian yang dinamik, manakala warna-warna berani mencerminkan emosi dan memori budaya.
Karya Mahsuri yang dihasilkan oleh tujuh pelukis dari pelbagai negara turut menarik perhatian. Karya itu adalah terjemahan perspektif terhadap figura berkenaan seperti simbol rantai leher.
Kata Sharon lagi, program itu diakhiri dengan pameran khas di Galeri Capital Fine Art yang mempamerkan karya terpilih sepanjang kem seni berlangsung.
“Selain itu, acara kemuncak seperti malam gala dan anugerah seni diadakan bagi meraikan pencapaian para artis,” kongsinya.














