fbpx

PRK Kuala Kubu Baharu: Undi Orang Asli kekal bersama BN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramli ketika ditemui selepas menghadiri Program Ramah Mesra bersama Orang Asli di Kampung Tun Razak, Selangor hari ini. Foto M FIRDAUS M JOHARI/ KOSMO!

HULU SELANGOR – Sokongan masyarakat Orang Asli kekal bersama Barisan Nasional (BN) sekali gus memberikan kelebihan kepada calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd. Nor berkata, beliau yakin masyarakat Orang Asli akan memberikan undi kepada calon Kerajaan Perpaduan pada 11 Mei nanti.

“Mengikut sejarah (dan) data, pengundi Orang Asli dengan BN ni berpisah tiada. Jadi di Kuala Kubu Baharu, saya nak masyarakat saya (beri undi) kepada calon Kerajaan Perpaduan (Sock Tao) untuk mewakili kawasan di sini.

“Saya percaya orang saya tidak pernah gagal melaksanakan apa yang dicaturkan oleh kepimpinan Orang Asli,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Ramah Mesra bersama Orang Asli di Kampung Tun Razak, di sini.

Dalam pada itu, Ramli berkata, Kerajaan Perpaduan sudah mewujudkan kerangka baharu untuk pembangunan masyarakat Orang Asli di seluruh Semenanjung.

“Saya tidak dapat beri maklumat terperinci tetapi saya boleh cerita yang ditekankan oleh Kerajaan Perpaduan iaitu antaranya mengubah satu dasar yang pragmatik dan positif bagi membangunkan masyarakat Orang Asli.

“Antaranya pembangunan minda dan pendidikan untuk membasmi miskin tegar dalam kalangan Orang Asli termasuk infrastruktur perkampungan-perkampungan yang berada di pendalaman,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI