fbpx

Pelanggan singgah makan di Langkawi naik helikopter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Zaidi (dua kiri) bergambar bersama juruterbang helikopter yang singgah makan di kedai makan miliknya di Kampung Mawat, Ulu Melaka, Langkawi hari ini.

LANGKAWI – Seorang pemilik sebuah kedai makan di Kampung Mawat, Ulu Melaka di sini tidak menyangka apabila premisnya didatangi pelanggan yang menaiki helikopter, tengah hari tadi.

Pemilik Dangau Langkawi, Mohd. Zaidi Abu Hassan, 40, memberitahu, pada mulanya dia menerima panggilan daripada seorang individu yang disangkakan hanya bergurau untuk berkunjung ke kedainya dengan helikopter.

“Pada mulanya saya beritahu individu tersebut bahawa kawasan kedai saya tidak mempunyai tempat pendaratan dan dia ada bertanya sekiranya ada tanah kosong luas yang berhampiran.

“Saya beritahu memang ada tanah kosong dan mereka minta gambar kawasan tersebut sebelum memaklumkan akan tiba dalam tempoh 20 minit,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd. Zaidi memuat naik video berdurasi lebih satu minit memaparkan sebuah helikopter dinaiki beberapa individu sedang mendarat berhampiran kedainya.

Menurutnya, pelanggan terbabit tiba dengan helikopter kira-kira pukul 2 petang dan meluangkan masa selama sejam untuk menikmati makanan tengah hari di kedainya.

“Mungkin mereka tertarik dengan cara hidangan tradisional Melayu di YouTube atau TikTok saya yang membuatkan mereka ingin datang ke Dangau Langkawi, tetapi cara mereka datang kita katakan cara kayangan,” ujarnya.

Tambahnya, kira-kira tujuh individu menaiki helikopter tersebut termasuk juruterbang, selain dua buah kenderaan mewah jenis Toyota Vellfire yang membawa kenalan mereka turut serta makan di situ.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari ketika dihubungi mengesahkan pergerakan helikopter tersebut ke lokasi itu mendapat kebenaran Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM).

“Penerbangan dan pendaratan tersebut dalam pengetahuan dan kebenaran kawalan trafik udara (ATC) Langkawi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI