PETALING JAYA – Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya memperketatkan keselamatan di sempadan berikutan kes penyeludupan masuk senjata api sehingga mampu mengancam rakyat negara ini.
Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, KDN sebagai kementerian yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga keselamatan negara perlu berbincang dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melihat sejauh mana aspek keselamatan di sempadan perlu diperketatkan.
Lam Thye berkata, apabila ada individu yang boleh mendapatkan senjata api secara haram, perkara ini sudah tentu akan menimbulkan masalah terutamanya dari segi keselamatan rakyat.
“Malah, dalam kes melibatkan warga Israel tempoh hari, hakikat bahawa ada warga Malaysia sendiri menjual senjata api merupakan satu perkara yang sangat serius.
“Kejadian seperti ini perlulah dicegah. Pihak KDN perlu kaji semula dari semua aspek untuk memastikan keselamatan negara dapat diperketatkan supaya tidak mudah beri peluang kepada mana-mana individu untuk mendapatkan senjata,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Menurut beliau, tidak dinafikan, kejayaan pihak polis memberkas seorang lelaki bagi membantu siasatan kes tembak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Terminal 1 (KLIA1) tempoh hari membuktikan kecekapan risikan dan operasi pasukan PDRM.
“Lelaki itu dapat ditangkap dalam masa yang sangat singkat. Ini merupakan bukti pihak polis negara kita sangat cekap.
“Tetapi mengapa ada individu yang boleh mendapatkan senjata secara haram? Perkara ini sebenarnya boleh dicegah,” jelasnya.
Beliau turut mengakui bahawa di Malaysia, pemilikan senjata bukanlah sesuatu yang mudah namun isu penyeludupan senjata api ini menggugat keselamatan.
“Kita ada undang-undang yang sangat ketat untuk memiliki senjata di negara ini. Kita bukan seperti di Amerika Syarikat, di sana setiap tahun ada kes tembakan kerana semua orang mempunyai hak memiliki senjata api. Individu yang ingin mendapatkan senjata (di Malaysia) perlu membuat permohonan kepada pihak berkuasa.
“Kemudian, pihak berkuasa pula perlu kaji sama ada individu tersebut layak untuk memiliki senjata. Syarat-syarat yang ada sangat ketat,” katanya.
Oleh itu, tegas beliau, KDN perlu menjadikan kes ini sebagai satu pengajaran dan bertindak meneliti atau mengkaji semula undang-undang sedia ada terutamanya berkenaan aspek berkaitan pemilikan senjata api.
Kelmarin Kosmo! melaporkan, lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes melepaskan tembakan di Balai Ketibaan KLIA1, Sepang disyaki membeli sepucuk pistol jenis Glock 19 Austria di negara jiran dengan harga RM5,000.
Sumber berkata, senjata api yang dibeli dari negara jiran itu merupakan senjata baharu dan polis percaya sebelum kejadian di KLIA1 tersebut, pistol tersebut masih belum digunakan.
Dalam kejadian pada pukul 1.20 pagi, Ahad lalu, seorang lelaki melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena seorang pengawal peribadi.
Pada 27 Mac lalu, seorang lelaki Israel, Shalom Avitan ditahan di sebuah hotel mewah di Jalan Ampang, Kuala Lumpur bersama enam pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru yang diperolehi dari Thailand. -KOSMO! ONLINE














