fbpx

Lelaki Israel: 10 individu ditahan 28 hari di bawah Sosma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rusdi ketika ditemui wartawan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini hari ini. -Foto oleh AMARULLAH ZAINUZZAMAN/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Sepuluh individu termasuk tiga warga asing ditahan semula selama 28 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) sebagai ahli kumpulan jenayah terancang.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, kesemua 10 individu tersebut telah tamat tempoh reman dibawah Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 semalam, dan kini ditahan di bawah Sosma.

Menurut beliau, ia menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan kes tersebut sebanyak 18 orang termasuk suspek utama Shalom Avitan, 38, serta pasangan suami isteri warga tempatan berusia 42 dan 40 tahun yang menjual pistol kepada Shalom.

“Daripada 18 orang, 10 orang masih berada dalam tahanan pihak polis. Kita tahan mereka di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

“Mereka ditahan pada 16 April lalu dan tiga lagi suspek yang juga merupakan warga asing ditahan semula pada 18 April.

“Tiga daripada mereka telah dituduh iaitu warga Israel, Shalom dituduh di Mahkamah Jalan Duta baru-baru ini manakala pasangan suami isteri pula dituduh di Mahkamah Seksyen Klang,” katanya ketika ditemui wartawan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, Shalom dan pasangan suami isteri warga tempatan yang disyaki membekalkan senjata api kepadanya, bakal berdepan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Ia berikutan kertas siasatan terhadap mereka dibuka mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Mana-mana individu yang didapati bersalah mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 boleh dihukum mati. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI