GUA MUSANG – Seorang lelaki warga emas maut selepas dirempuh sebuah motosikal dalam kejadian di Kilometer 41, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa, Mat Zaki Jusoh, 62, mengalami kecederaan parah pada kepala dipercayai sedang melintas jalan untuk menuju ke sebuah lori miliknya yang diparkir di seberang jalan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun sedang menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari arah Paloh menghala ke Gua Musang.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal itu dipercayai tidak sempat mengelak sebelum merempuh mangsa yang melintas jalan.
“Kejadian itu menyebabkan warga emas itu yang juga merupakan pemandu lori tercampak dan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














