fbpx
PELAJAR tahfiz MQDS membaca al-Quran sambil dibimbing oleh huffaz jemputan.

K2

Huffaz alun al-Quran selama 48 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANJANG Ramadan lalu, institusi agama Islam seperti masjid, surau dan pusat tahfiz telah menganjurkan pelbagai acara sebagai meraikan kehadiran bulan mulia itu.

Bagi sama-sama mengimarahkan bulan turunnya al-Quran itu, pusat tahfiz, Madrasatul Quran Darussalamah (MQDS) telah menganjurkan Program Halaqah Huffaz (Halfaz) 2.0 di Surau Al-Ihsan Alam Nusantara, Setia Alam, Selangor.

Pengarah Halfaz 2.0, Muhammad Amir Hadi Mohd. Wahi berkata, sempena program tersebut, satu sesi bacaan 30 juzuk al-Quran secara bersanad telah dijalankan selama 48 jam.

“Sebagai pusat tahfiz, MQDS komited untuk mengadakan program bacaan al-Quran ini bagi memastikan agenda menyambut Ramadan terus disemarakkan di sini.

“Program selama tiga hari ini melibatkan 20 huffaz (penghafal al-Quran) dalam kalangan pelajar tahfiz dan 10 huffaz jemputan,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian penutup Halfaz 2.0.

Muhammad Amir Hadi menambah, sesi bacaan tersebut bukanlah untuk mencipta rekod, sebaliknya ia merupakan manifestasi rasa cinta golongan huffaz kepada al-Quran.

Katanya lagi, apa yang lebih penting, sesi bacaan ala maraton itu turut mempunyai waktu rehat bagi membolehkan peserta terlibat menunaikan solat fardu lima waktu.

“Tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim adalah untuk memastikan kita bukan sahaja beriman dengan al-Quran, malah memahami isinya dan membaca mengikut tajwid.

“Lebih penting amalan wajib tidak ditinggalkan.

SESI bacaan al-Quran telah berlangsung selama tiga hari di Surau Al-Ihsan Alam Nusantara, Setia Alam, Selangor baru-baru ini.

“Elemen-elemen ini menjadi fokus utama sepanjang program bacaan al-Quran yang berakhir dengan kehadiran ahli kariah, ibu bapa dan tokoh-tokoh kita,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai pengisian Halfaz 2.0, Muhammad Amir Hadi berkata, program itu melibatkan tokoh seperti Imam Masjid Shah Alam, Sheikh Karim Al Makki yang juga tokoh muazzin bagi memimpin qiamullail pada hari kedua.

Jelasnya lagi, kehadiran Sheikh Karim pada program tersebut sudah pasti menjadi pengalaman berharga kepada pelajar-pelajar tahfiz MQDS.

“Selain menjadi huffaz, kita turut membimbing pelajar ini untuk berjaya dalam pelbagai cabang ilmu.

“Sempena Halfaz 2.0, kami mahu mereka didedahkan dengan perkara tersebut. Sesi bersama tokoh keagamaan merupakan salah satu langkah ke arah itu.

“Kita turut menjemput tokoh-tokoh hafazan yang pernah menerima anugerah dan memenangi pertandingan hafazan untuk sama-sama membaca al-Quran dengan pelajar ini.

“Saya berharap sesi ini dapat memberi manfaat kepada pelajar tahfiz kita,” katanya.

Sementara itu, pihaknya berharap Halfaz pada masa depan tidak hanya melibatkan pelajar MQDS, sebaliknya boleh dijadikan sebagai program kembara iaitu melibatkan lebih ramai pihak di tempat lain.

Muhammad Amir Hadi memaklumkan, Halfaz akan menjadi program tahunan yang boleh disertai oleh pelajar-pelajar dari pusat tahfiz lain di Setia Alam.

“Mungkin program Halfaz akan datang kita adakan ‘tour’ ke surau atau masjid di sekitar Setia Alam.

“Apa yang lebih afdal, kita sama-sama menganjurkan program penghayatan al-Quran sepanjang Ramadan nanti,” ujarnya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN