JOHOR BAHRU – Tidak mahu terlepas peluang melihat anak sulung membesar di depan mata, seorang usahawan terpaksa melepaskan jawatannya sebagai arkitek di sebuah syarikat multinasional di Singapura.
Tujuh tahun merantau di negera jiran bekerja dengan masa yang terlalu banyak dikorbankan dalam dunia kerjayanya telah menyebabkan Pengasas Kedai Emas Perling, Nurul Aini Muslim, 42, merasai kehilangan sesuatu dan tidak mahu anak perempuannya membesar tanpa mendapat kasih sayang sepenuhnya daripada seorang ibu.
Wanita yang berasal dari Johor Bahru itu mengambil peluang berniaga dari rumah dengan menjual makanan yang dimasaknya sendiri secara online dan kemudian beralih kepada jualan pakaian tetapi tidak mendapat sambutan yang baik daripada pasaran.

Mungkin tidak ‘rasi’ dengan bisnes tersebut, beliau telah menjual salah satu daripada rumahnya untuk dijadikan modal demi kelangsungan hidup membayar komitmen bulanan dengan memilih menjual barang kemas secara kecil-kecilan sebagai pilihan terbaharunya.
Ternyata langkah kanannya itu menjadi dan jualan barang kemas yang hanya bermula dari rumah telah mendapat sambutan baik daripada pelanggan sehinggalah Nurul Aini bekerjasama dengan bapanya untuk mengeluarkan modal yang lebih besar sehingga lebih daripada RM400,000.
“Saya buka pejabat kecil di rumah untuk mengelak mereka memasuki kawasan rumah kerana bisnes semakin maju sehingga membolehkan saya menyewa satu lot komersial untuk mula membangunkan empayar Kedai Emas Perling pada tahun 2016.
“Kemudian kami menambah sebuah lagi lot di sebelah kedai sehingga menjadikan ia sebuah kedai yang luas dan selesa bersesuaian untuk menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan kepada pelanggan.

“Ada juga kumpulan kakitangan yang berada di belakang tabir yang memainkan peranan penting dalam menguruskan segmen e-dagang, masing-masing ada peranannya dan mereka adalah aset berharga kepada syarikat.
“Segala pengalaman yang saya peroleh bekerja di Singapura dalam syarikat multinasional, saya adaptasikan dalam kedai emas ini, ternyata ia berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan 1,000 kampit beras kepada keluarga asnaf dan kurang berkemampuan di sini untuk membolehkan mereka membuat persediaan Aidilfitri.
Mengulas lanjut Nurul Aini memberitahu, ini salah satu tanggungjawab sosial korporat untuk menyokong komuniti tempatan terutamanya mereka yang berdepan dengan peningkatan kos sara hidup yang mencabar.

“Diharapkan sumbangan ini dapat memberi kelegaan kepada mereka,” jelasnya.
Selain itu, Nurul Aini menerangkan, Kedai Emas Perling memiliki keunikan dan kelainannya tersendiri dalam menawarkan pelbagai barang kemas kepada pelanggan.
Tambah beliau, pengembangan syarikat terus dirancakkan lagi dengan bantuan dana daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) membolehkan syarikatnya memiliki stok barang kemas bernilai kira-kira RM5 juta.
Sehubungan itu, ia kini menjadi pilihan pelanggan kerana menawarkan pelbagai barang kemas dengan harga mampu milik hinggalah kepada nilai puluhan atau ratusan ribu ringgit.
“Pekerja kami akan melayan setiap pelanggan yang berkunjung ke kedai kami mengikut bajet mereka, jika ada yang hanya membawa modal kurang daripada RM1,000 kami akan membantu mereka mendapatkan barang kemas yang dihajati, meskipun ia mengambil masa yang lama untuk melayan mereka.

“Ini keunikan kami, semua pelanggan dilayan sama rata mengikut bajet mereka meskipun dia adalah pelanggan B40 hanya berniaga di pasar, hanya sekadar menjual nasi lemak tetapi keinginan mereka untuk membeli barang kemas akan ditunaikan,”
jelasnya.
Tambah Nurul Aini, berdepan dengan trend digital dan ledakan promosi produk di platform online pada awalnya telah memberi cabaran besar kepada diri dan juga kakitangannya.
Mereka terpaksa mencabar diri untuk bergerak seiring dengan trend semasa selain mempelajari ilmu-ilmu perniagaan baharu agar tidak ketinggalan dengan transformasi tersebut.
Meskipun berat pada awalnya tetapi usahawan yang bersemangat kuat itu terus mengadaptasi perubahan tersebut sehingga ia memberi impak positif kepada perolehan jualan.
Kesan domino tersebut telah memberi inspirasi dan semangat kepada usahawan ini untuk terus berdiri kukuh berdepan segala cabaran dalam perniagaan semasa. -KOSMO! ONLINE














