fbpx

IKTBN Dusun Tua tawar kursus selenggara EV pertama untuk belia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hannah (tiga dari kanan) ketika melawat bengkel penyelenggaran EV dan hibrid selepas menyempurnakan Majlis Perasmian TVET ILKBS sebagai Pelaksana Rintis Kursus EV dan Hibrid di IKTBN Dusun Tua, Hulu Langat hari ini. - Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI / KOSMO!

HULU LANGAT – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua menawarkan kursus Penyelenggaraan Kenderaan Elektrik (EV) dan Hibrid yang pertama melibatkan 30 belia bermula Februari lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kohort pertama itu merupakan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berusia antara 18 hingga 30 tahun untuk tempoh dua tahun tiga bulan peringkat Sijil Kemahiran Tahap 3.

“Kursus Penyelenggaraan EV di IKTBN Dusun Tua menunjukkan latihan kemahiran responsif terhadap lanskap automotif yang berkembang, melengkapkan pelajar dengan kepakaran diperlukan untuk berkembang maju dalam era mobiliti elektrik.

“Sebanyak tujuh Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) di seluruh negara kini melaksanakan latihan kemahiran dalam bidang Teknologi Automotif yang mana tiga ILKBS melaksanakan kursus EV iaitu IKTBN Dusun Tua, IKTBN Chembog dan IKBN Jitra,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar perasmian Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) ILKBS sebagai pelaksanaan rintis kursus EV dan hibrid di IKTBN Dusun Tua di sini hari ini.

Hannah berkata, pada tahun depan, dijangkakan 200 pelajar sepenuh masa akan dilatih di IKTBN Dusun Tua, IKTBN Chembong dan IKBN Jitra dalam kursus EV.

Katanya, selain itu, seramai 500 belia dan pekerja antaranya bekerja di industri automotif atau bengkel akan dilatih dalam kursus ‘reskilling’ bidang EV melalui program ‘Skills For Life’ di tiga ILKBS tersebut.

“Justeru, dengan adanya kursus dalam bidang baharu ini, potensi tenaga kerja berkemahiran dalam sektor EV akan meningkat seiring permintaan industri yang diperlukan oleh syarikat-syarikat automotif tempatan dan antarabangsa.

“Kita menggalakkan belia lepas SPM merebut peluang ini dengan mendaftar dan memperkasakan diri bagi kemahiran tinggi,” katanya.

Sementara itu, turut diadakan sesi Menandatangani Dokumen Persefahaman (MoU) di antara IKTBN Dusun Tua dengan syarikat dan agensi peneraju bagi EV dan hibrid iaitu Sunway Berhad dan Malaysia Automotive Robotics and loT Institute (MARii) pada majlis tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI