Ketika kebanyakan wanita seusia mereka memilih pengajian yang menjanjikan pekerjaan di pejabat, dua sahabat karib berani mencabar norma apabila menjadikan jentera berat sebagai medan perjuangan hidup, sekali gus memecah stereotaip bidang yang sering dilabel khusus untuk lelaki.
Minat mendalam terhadap mesin berskala besar yang jarang diceburi wanita mendorong Nuur Adila Zulkifli dan Siti Nur Afiqah Mohamed Asri, masing-masing berusia 21 tahun mengikuti Kursus Pengendalian Jentera Berat di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bachok, Kelantan.
Kedua-dua mereka yang tinggal berjiran di Kampung Tengah Perupok di sini, sepakat mendalami jurusan mencabar itu walaupun terpaksa belajar dan berlatih bersama 19 pelajar lelaki, sekali gus membuktikan keupayaan wanita tidak terbatas oleh jantina.
Nuur Adila berkata, selepas setahun menuntut ilmu sejak Februari 2025, dia dan rakannya itu sudah digelar ‘Mek Sepana’ bukan sahaja mahir mengendalikan pelbagai jentera berat, malah sudah terbiasa dengan rutin harian yang memerlukan kekuatan fizikal dan ketahanan mental.

Menurutnya, kerja-kerja seperti memikul sepana bersaiz besar, memanjat jentera dan melakukan pembaikan teknikal sudah menjadi kebiasaan dalam proses pembelajaran mereka.
“Setakat ini, saya sudah memiliki kemahiran membaiki dan mengendalikan pelbagai jentera berat hasil bimbingan pensyarah.
“Saya tidak mudah mengalah meskipun kerja yang dilakukan berat dan mencabar sama seperti yang dibuat oleh pelajar lelaki. Sepanjang berada di sini, saya dan Siti Nur Afiqah tidak pernah merasakan perbezaan gender kerana semua tugasan dilaksanakan secara berkumpulan dan profesional,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Nuur Adila yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik berkata, minatnya terhadap bidang teknikal bermula sejak usia 16 tahun apabila dipengaruhi oleh bapanya yang bekerja sebagai tukang rumah.
Sementara itu, Siti Nur Afiqah pula berkata, meskipun tidak mempunyai sebarang asas berkaitan jentera berat, keinginannya untuk mempelajari ilmu baharu menjadi pendorong utama menyertai kursus berkenaan.
“Bidang ini memang mencabar dan bukan semua wanita berani ceburi tetapi bagi saya ia satu peluang besar untuk membina masa depan.
“Sepanjang kursus, kami didedahkan dengan pelbagai modul termasuk mengenali komponen enjin, sistem hidraulik dan operasi jentera sebenar di tapak latihan,” katanya.
Anak kelima daripada tujuh beradik itu turut memaklumkan, kursus selama dua tahun itu membuka peluang kerjaya yang luas dalam sektor teknikal dan industri berat termasuk sebagai operator jentera, pembantu juruteknik atau menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Sementara itu, Pengarah IKTBN Bachok, Mohd. Soufi Mohd. Ibrahim berkata, kesungguhan dua sahabat itu bukan sahaja menjadi inspirasi kepada golongan wanita, malah membuktikan kemahiran, keberanian dan keazaman mampu mengatasi segala batasan jantina dalam dunia pekerjaan moden.
“Kedua-dua pelajar ini cemerlang dalam pembelajaran dan kemahiran. Mereka berpotensi ke peringkat yang lebih tinggi termasuk berdaya maju meredah pasaran kerja,” katanya.
















