PASIR PUTEH – Kerajaan meluluskan bantuan segera sebanyak RM500,000 bagi membaik pulih Sekolah Menengah Ugama (SMU) (Arab) Darul Ulum Al-Muhammadiah di Bachok dekat sini yang terbakar pada 12 April lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, peruntukan itu bagi membantu pihak pentadbiran sekolah membaik pulih prasarana yang terkesan akibat insiden berkenaan.
“Kerajaan turut berdukacita atas insiden kebakaran yang menimpa SMU Darul Ulum Al-Muhammadiah.Kebakaran itu menyebabkan tiga blok bangunan sekolah tersebut musnah dan terjejas.
“Saya terima dua pucuk surat daripada Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud mengenai kebakaran sekolah itu. Beliau ingat saya nak jaga Kelantan sahaja, banyak lagi negeri saya nak jaga.
“Memandangkan beliau sahabat saya dan saya tanya berapa lagi tak cukup, saya luluskan sekarang setengah juta,” katanya ketika berucap pada Majlis Sesi Rahmah Mesra dan Lawatan ke Masjid Gong Chapa di sini hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan bersetuju memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi tujuan kerja pembersihan dan pembaikan asas bangunan SMU Darul Ulum Al-Muhammadiah yang terbakar.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, dana untuk pembaikan asas itu turut melibatkan pendawaian elektrik dan penyambungan bekalan air bagi membolehkan sekolah itu beroperasi semula.
“Pada waktu ini, premis sekolah telah dikosongkan bagi membolehkan penilaian keselamatan dilaksanakan.
“Guru dan murid melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sepanjang minggu ini (lalu),” katanya.
Dalam kejadian pada 12 April lalu, tiga blok bangunan sekolah itu yang terletak di Kampung Kolam, Pak Badol dekat Bachok terbakar dengan satu daripadanya musnah hampir 98 peratus.
Dua lagi bangunan masing-masing terbakar 80 dan 30 peratus, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Sekolah yang ditubuhkan pada 1990 itu menempatkan keseluruhan 251 pelajar dengan 112 daripadanya tinggal di asrama. – KOSMO! ONLINE














