fbpx

Enam kali keluar masuk penjara, Anis insaf mahu mula hidup baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anis (kiri) dipeluk ibunya pada Majlis Pelepasan Banduan Secara Lesen Ihsan Madani sempena Hari Raya Aidilfitri di Penjara Pokok Sena, hari ini.

POKOK SENA – Seorang banduan wanita menghela nafas lega dan bersyukur kerana terpilih dalam program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) dua minggu awal dari tarikh tamat hukuman sekali gus membolehkannya berhari raya bersama keluarga.

Wanita yang ingin dikenali sebagai Anis, 26, itu juga memberitahu, setelah enam kali keluar masuk penjara kerana dadah dan dia berjanji untuk tidak kembali ke kancah penagihan itu lagi.

“Saya bersungguh-sungguh janji ini kali terakhir dan apa yang berlaku sekarang menginsafkan saya terutama selepas kematian ayah pada Disember tahun lepas kerana strok. Saya sedih tak dapat jumpa arwah kerana berada di penjara.

“Saya anggap inilah peluang saya untuk kembali ke pangkal jalan terutama apabila dapat pulang berhari raya bersama ibu saya yang sendirian. Kalau ikut saya tamat hukuman penjara 28 April ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis PBSL Ihsan Madani sempena Hari Raya Aidilfitri di Penjara Pokok Sena, di sini hari ini.

Menurut Anis yang berjinak-jinak dengan dadah sejak berusia 13 tahun itu, dia terpaksa meringkuk lapan bulan dalam penjara sejak Ogos tahun lepas kerana memiliki dadah jenis heroin.

“Saya terlibat dadah kerana teman lelaki dan selepas berkahwin dengannya keadaan menjadi lebih teruk kerana saya turut menjadi tokan.

“Apabila suami meninggal dunia pada 2018, saya mengambil alih tugas sebagai tokan sepenuhnya. Upah tak banyak cuma RM500 sahaja tetapi kesannya saya keluar masuk penjara. Saya sudah insaf sekarang dan cuma nak mulakan hidup baharu bersama ibu yang juga tidak sihat kerana ada masalah mental,” ujarnya.

Seorang lagi banduan dikenali sebagai Det, 42, memberitahu, kali terakhir dia berpeluang berhari raya sebagai orang bebas pada 2005 sebelum keluar masuk penjara dalam tempoh 18 tahun.

“Saya tidak dapat merasai nikmat beraya sebagai orang bebas kerana keluar masuk penjara sejak 2005. Tahun ini Alhamdulillah, namun saya membuat keputusan untuk berhari raya jauh dari keluarga dahulu.

“Saya masih belum bersedia untuk kembali kepada mereka biarlah saya bekerja dahulu dan tebus semua dosa saya. Saya sebenarnya merindui dua anak saya yang kini dalam jagaan bekas isteri di Selangor,” ujarnya yang berasal dari Kuala Ketil, dekat sini.

Menurut Det, kali terakhir dia dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada 2022 kerana dadah.

“Duit hasil jualan dadah ini yang buat saya gelap mata tetapi saya teringin sangat untuk berubah dan bekerja untuk bina hidup baharu tetapi sebagai banduan, susah untuk saya dapat kerja.

“Sekarang keadaan lebih baik kerana banduan turut mempunyai peluang bekerja dengan syarikat yang disediakan oleh pihak penjara,” katanya.

Dalam pada itu Pengarah Penjara Kedah, Timbalan Komisioner Penjara Zainah Pardi berkata, sebanyak 102 banduan yang menjalani hukuman penjara satu hingga tiga tahun terpilih menyertai program tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI