SUBANG JAYA – Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh sebuah kereta jenis Mazda RX-8 yang ditinggalkan di lorong kecemasan di Kilometer 12.5 Lebuh Raya Elite arah utara di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 pagi itu, mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 23 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan awal mendapati motosikal jenis Modenas Ninja yang ditunggang mangsa sedang bergerak lurus sebelum melanggar bahagian belakang sebuah Mazda RX-8.
Menurut beliau, kereta tersebut dipercayai mengalami kerosakan sebelum diletakkan dan ditinggalkan di lorong kecemasan lebuh raya berkenaan.
“Penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pihak polis kini sedang mengesan pemandu kereta Mazda RX-8 nombor pendaftaran WND6463 yang meninggalkan kenderaan tersebut di lokasi kejadian bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pemilik atau pemandu kereta terbabit diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Hamdan Jeramatin di talian 019-4642222. – KOSMO! ONLINE














