fbpx

Belum cuti sampah sudah penuh di LTU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAMPAH sarap yang dibuang pengguna di laluan LTU di daerah Lipis.

LIPIS – ‘Tolonglah jangan pengotor sangat’,” kata seorang pempengaruh permotoran yang berkemungkinan pertama kali melihat sampah yang dibuang di tepi jalan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dekat Merapoh di sini.

Dalam video berdurasi 0.55 saat itu pemilik video berkenaan yang berhenti di tepi jalan bagaikan terkejut melihat sampah yang dibuang pengguna jalan raya.

“Aku nak tunjuk kat engkau menarik tak Malaysia ini, kau nampak tak menimbun sampah, kau tengok, kalau korang berhenti nak berbuka pun jangan buat perangai macam ini,” katanya dalam video berkenaan.

Hakikatnya longgokan sampah akan lebih banyak dan bertimbun termasuk najis yang dibuang pengguna di lebuh raya yang tidak mempunyai kawasan rehat dan rawat (R&R) itu.

Biarpun cuti perayaan belum bermula namun laluan LTU yang bermula dari Bentong ke Lipis dan Gua Musang telah mula dicemari dengan sampah sarap.

Berdasarkan tinjauan Kosmo! di LTU mendapati pembuangan sampah berlaku di sepanjang laluan itu termasuk di daerah Bentong, Raub dan di Lipis.

Tinjauan di sekitar laluan LTU di Bentong mendapati kawasan selepas bulatan ke Mempaga dan Raub turut dipenuhi sampah sarap.

Di sekitar LTU di Lipis pula tinjauan Kosmo! mendapati bahu jalan di sepanjang laluan dari Kampung Kechau Tui hingga ke persimpangan Felda Chegar Perah dipenuhi dengan sampah-sarap seperti plastik bungkusan makanan, polisterin dan kotak minuman.

Selain itu, kawasan longkang di laluan LTU terbabit juga dipenuhi dengan sampah sarap yang boleh mengakibatkan ia tersumbat sekiranya hujan lebat.

Lebih menjijikkan terdapat sisa makanan dihurungi langau dan menimbulkan bau yang kurang senang.

Biarpun papan tanda larangan membuang sampah diletakkan di kawasan terbabit namun ia seperti tidak diendahkan oleh para pengguna jalan raya yang nyata tidak bertanggungjawab.

Seorang penduduk Padang Tengku, Nor Mohamad Faizal Osman, 37, berkata, pemandangan menjelikkan ini sering berlaku ketika tiba musim perayaan apabila laluan ini berubah kerana dipenuhi sampah-sarap.

“Sikap ditunjukkan segelintir pengguna jalan raya amat mengecewakan kerana tidak bertanggungjawab membuang sampah sesuka hati sehingga menyebabkan kekotoran di sepanjang laluan ini.

“Saya tidak berniat menyalahkan pengguna yang berulang-alik di laluan LTU. Cuma beranggapan segelintir daripada mereka yang membuang sampah. Seeloknya ubahlah sikap dan sayangkan kemudahan ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI