fbpx
Gambar hiasan. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR

Naik taraf Lebuh Raya Karak diteruskan, tidak bergantung pada ECRL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BENTONG – Usaha menaik taraf Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) akan terus dilaksanakan secara berterusan memandangkan kepentingannya sebagai laluan utama yang menghubungkan Pantai Timur dengan Lembah Klang.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan juga tidak boleh bergantung kepada projek East Coast Rail Link (ECRL) semata-mata kerana jaringan jalan raya masih diperlukan bagi kegunaan kenderaan darat lain.

Tambahnya, inisiatif tersebut penting bagi memastikan aspek keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya berkenaan sentiasa terjamin.

“Usaha naik taraf itu memang ada dan sedang dalam proses, namun jangkaan siap belum dapat dipastikan setakat ini.

“Kita tidak boleh bergantung kepada satu laluan ECRL sahaja, jadi kemudahan lebuh raya ini amat penting kepada rakyat,” katanya ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kad Kesihatan Kasih Makmur Negeri Pahang Darul Makmur Edisi Pahlawan Tahun 2026 di Klinik Perubatan Hijraa 24 Jam di sini hari ini.

Baru-baru ini Kosmo! melaporkan laluan KLK di Kilometer 37 hingga Kilometer 88 menjadi antara laluan paling berbahaya di Malaysia dengan rekod purata empat kemalangan dilaporkan berlaku setiap hari.

Statistik terkini menunjukkan meskipun hanya melibatkan jarak 51 kilometer, laluan itu telah menyumbang angka kemalangan yang tinggi secara konsisten saban hari.

Sepanjang 2024, sebanyak 1,364 kes kemalangan direkodkan di laluan berkenaan sebelum meningkat kepada 1,408 kes pada 2025, mencerminkan trend peningkatan yang cukup ketara.

Kemalangan maut turut menunjukkan peningkatan apabila 19 kes direkodkan pada 2024, berbanding 26 kes pada 2025

Malah dalam tempoh Januari hingga Februari tahun ini sahaja sebanyak 214 kes kemalangan direkodkan di kawasan berkenaan melibatkan lima kemalangan maut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN