fbpx

Bekas pengarah rumah urut, isteri didakwa makan suap RM656,395

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasangan suami isteri itu ketika dihadapkan ke mahkamah itu hari ini. FOTO ISKANDAR SHAH MOHAMED/ KOSMO!

SHAH ALAM – Bekas pengarah syarikat rangkaian pusat urut bersama isterinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas 68 pertuduhan rasuah berjumlah RM656,395 berkaitan tawaran kerja pembekalan minyak urut antara 2014 hingga 2020.

Tertuduh, Chuah Seong Keat, 59, dan Wong Choi Nyet, 58, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Kesemua 68 pertuduhan itu dibacakan dua jurubahasa mahkamah dalam bahasa Melayu selama kira-kira 55 minit bermula pukul 10.55 pagi.

Berdasarkan semua pertuduhan, Chuah ketika kejadian sebagai pengarah sebuah syarikat rangkaian pusat urut dan isterinya didakwa dengan niat secara rasuah menerima suapan keseluruhan RM656,395 daripada sebuah syarikat yang merupakan pembekal minyak urut.

Suapan itu didakwa sebagai upah kerana memberi tawaran kerja pembekalan minyak urut kepada syarikat tersebut dengan kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di daerah Petaling antara 2014 hingga 2020.

Justeru, pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dengan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Mohd. Alimi Mustapha mencadangkan jaminan RM200,000 bagi setiap tertuduh dan memohon penyerahan pasport kepada mahkamah selain melaporkan diri kepada SPRM setiap bulan.

Bagaimanapun, Peguam Adam Haikal yang mewakili pasangan itu memohon pengurangan kerana anak guamnya mempunyai tanggungan tiga anak yang masih menuntut di intitusi pengajian tinggi (IPT).

Awang Kerisnada kemudian membenarkan jaminan RM100,000 bagi setiap tertuduh dengan penjamin berasingan selain menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM Shah Alam. Sebutan semula kes ditetapkan pada 10 Jun depan. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI