fbpx

Kes denggi di Singapura meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar fail bertarikh 21 April 2006 menunjukkan pekerja menyembur semburan asap bagi mencegah penularan denggi di Singapura. - AFP

SINGAPURA – Singapura mencatatkan lonjakan jangkitan demam denggi dengan kes pada suku pertama tahun ini meningkat lebih dua kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu, lapor laman berita Channel News Asia (CNA) kelmarin.

Lebih 5,000 kes denggi dilaporkan setakat tahun ini, meningkat daripada 2,360 kes pada suku sama 2023, demikian menurut Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) dalam satu kenyataan akhbar.

Sehingga 25 Mac lalu, tujuh pesakit meninggal dunia akibat jangkitan denggi tempatan. Bagi sepanjang tahun 2023, enam kematian direkodkan bagi wabak tersebut.

Angka itu didedahkan semasa pelancaran kempen pencegahan denggi kebangsaan yang diadakan menjelang musim kemuncak denggi yang kebiasaannya berlaku pada Mei hingga Oktober.

“Apa yang membimbangkan adalah, tahun ini kita melihat peningkatan dalam bilangan kes (denggi).

“Kita mencatatkan lebih daripada 300 kes denggi mingguan pada suku pertama ini,” kata Setiausaha Parlimen Kanan bagi Kelestarian dan Alam Sekitar, Baey Yam Keng.

Tambah Yam Keng, populasi nyamuk Aedes aegypti juga kekal tinggi.

Tempat pembiakan nyamuk Aedes yang ditemui di premis-premis kediaman pada Januari lalu adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding Januari tahun lepas.

Dalam kemas kini terkini di laman web NEA, terdapat 27 kluster denggi di bawah tahap ‘amaran merah’ setakat 28 Mac lalu. Ia merujuk kepada kawasan berisiko tinggi dengan 10 atau lebih kes.

Menurut NEA, penduduk Singapura mempunyai imuniti yang rendah terhadap keempat-empat serotip virus denggi yang berada di negara itu.

“Kehadiran berterusan semua faktor risiko denggi boleh menyebabkan lonjakan kes dalam beberapa bulan akan datang jika tindakan diambil tidak mencukupi,” kata agensi itu.

Ia menambah bahawa wabak denggi berjaya dikawal tahun lepas berikutan langkah pencegahan dan kawalan yang dipertingkatkan. 

Hasilnya, jumlah jangkitan denggi menurun sebanyak 69 peratus daripada 32,173 kes pada 2022 kepada 9,949 kes.

NEA turut melakukan lebih 813,000 pemeriksaan pada 2023 dan menemui lebih 19,600 tempat pembiakan nyamuk.

Lebih separuh tempat pembiakan nyamuk itu ditemui di rumah, 38 peratus di kawasan awam dan lima peratus di tapak pembinaan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI