fbpx
Gambar hiasan

K2

Alternatif atasi kesesakan lebuh raya ketika Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KESESAKAN lalu lintas di lebuh raya merupakan lumrah yang sentiasa berlaku pada musim perayaan termasuk Hari Raya Aidilfitri.

Ketika hari raya, penduduk di ibu kota akan berpusu-pusu pulang ke kampung halaman untuk meraikan Syawal bersama keluarga tercinta.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), Datuk Ir. Sazali Harun berkata, pihaknya menjangkakan bahawa sebanyak 2.46 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya utama pada hari-hari puncak sempena Aidilfitri pada tahun ini.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 2.1 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya di bawah Plus Malaysia Berhad (Plus).

“Bagi pengguna lebuh raya yang menghala ke Pantai Timur dijangkakan trafik di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) akan meningkat sehingga 180,000 kenderaan sehari berbanding hari biasa sebanyak 121,000 kenderaan sehari.

“Selain itu, trafik di Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) juga dijangka meningkat kepada 120,000 kenderaan sehari berbanding hari-hari biasa sebanyak 45,000 kenderaan sehari.

“Manakala bagi LPT2, sebanyak 61,000 kenderaan sehari berbanding 20,000 kenderaan sehari pada hari-hari biasa,” katanya.

Tambah Sazali, bagi menghadapi jutaan kenderaan yang bakal menghala ke kampung halaman menggunakan semua lebuh raya, pihaknya telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan kelancaran lalu lintas.

Antaranya adalah meminta syarikat konsesi lebuh raya menempatkan petugas di plaza tol bagi membantu pengguna yang mengalami kesukaran membayar tol.

Ini termasuk pengguna yang mempunyai masalah baki kurang agar tempoh menunggu pengguna-pengguna lebuh raya lain dapat dikurangkan.

Sazali memaklumkan, pihaknya menjangkakan 2.46 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya sempena
lebaran.

“Kita juga meminta agar diperbanyakkan lorong transaksi termasuk pelaksanaan kutipan tol secara berlapis (MTL).

“Selain itu, pihak konsesi disaran memperkenalkan sistem kutipan tol Secara Pembayaran Terbuka (SPT) di 12 lebuh raya utama di dalam bandar termasuk dua lebuh raya di utara tanah air iaitu di Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) dan Plaza Tol Jitra, Lebuh Raya Utara-Selatan.

“Melalui kaedah pembayaran secara SPT, pengguna boleh menggunakan kad debit, kad kredit, kad prabayar sebagai alternatif baharu pembayaran tol,” ujarnya.

Tambahnya, pelaksanaan Multi Lane Fast Flow atau MLFF diharapkan dapat meningkatkan kelancaran pergerakan trafik di lebuh raya, terutamanya mengatasi isu kesesakan di plaza tol pada masa depan.

Sementara itu, pembukaan laluan alternatif merupakan salah satu langkah yang dilaksanakan untuk mengurangkan kadar trafik di lebuh raya utama.

Antara jalan alternatif adalah laluan baharu Seksyen 11, Persimpangan Bertingkat Taiping Selatan ke Persimpangan Bertingkat Beruas, Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang melengkapkan jajaran di Perak.

Kongsinya, WCE akan menjadi laluan alternatif kepada jalan sedia ada dari Lembah Klang ke utara terutamanya bagi pengguna di sekitar persisiran Pantai Barat.

“LLM menjangkakan pembukaan WCE akan dapat membantu mengurangkan kadar kesesakan di Lebuh Raya Utara-Selatan.

“Pengguna juga mempunyai pilihan untuk menggunakan WCE bagi mengelakkan laluan mendaki atau berbukit di Meru/Menora dan Gua Tempurung, sekali gus memberikan perjalanan lebih selesa,”ujarnya.

Katanya lagi, penunggang motosikal juga diingatkan supaya berhati-hati sekiranya menggunakan lorong kecemasan kerana laluan itu bukanlah laluan eksklusif untuk motosikal.

Ujarnya, lorong berkenaan turut digunakan oleh kenderaan lain yang berhenti disebabkan mengalami kerosakan atau sebab-sebab kecemasan.

Sementara itu, LLM telah mengarahkan agar syarikat konsesi sentiasa memastikan pengoperasian lebuh raya dalam keadaan baik terutamanya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta Hentian Sebelah.

Ujarnya, perkara utama yang ditekankan adalah dari aspek memastikan tiada gangguan bekalan air berlaku serta kebersihan diutamakan.

“Sejajar dengan peningkatan jumlah pengguna, kemudahan tandas dan kawasan letak kereta tambahan juga disediakan di R&R.

“Bilangan petugas juga akan ditingkatkan untuk memastikan kebersihan tandas dan kecukupan bekalan air serta minyak di stesen minyak di R&R,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN