fbpx

Bekas pengurusan tertinggi kementerian antara saksi pendakwaan dalam kes Adam Radlan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adam Radlan (kiri) ketika hadir di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.- Foto oleh SADDAM YUSOFF/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Beberapa bekas pengurusan tertinggi di jabatan dan kementerian merupakan antara saksi yang akan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh ketika ditemui media selepas sebutan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin.

Bagaimanapun senarai nama lengkap dan jawatan saksi secara terperinci yang akan dipanggil hanya akan dimaklumkan pada perbicaraan kelak.

Terdahulu semasa prosiding, Farah Yasmin berkata, dalam prosiding lalu, mahkamah menetapkan hari ini untuk status dokumentasi sebagai persediaan bicara dan arahan lanjut berkaitan penyataan saksi.

Namun Farah Yasmin memberitahu hanya pernyataan saksi yang belum diserahkan.

“Mengikut peruntukan undang-undang, dokumen terbabit hanya akan diberikan kepada pembelaan dalam masa 14 hari sebelum prosiding. Justeru itu, kami akan serahkan pernyataan saksi pertama, 14 hari sebelum tarikh bicara yang telah ditetapkan sebelum 27 Mei ini,” katanya.

Mendengar perkara itu, peguam Alaistair Brandah Norman yang mewakili Adam memohon agar pihak pendakwaan dapat menyerahkan dokumen saksi itu, sebulan sebelum perbicaraan bermula.

“Setelah mendapat arahan daripada anak guam, kami mohon pernyataan itu diserahkan lebih awal kerana kami perlu meneliti dokumen berkenaan sebelum prosiding dijalankan. Lebih-lebih lagi ia melibatkan seramai 47 saksi, maka kami harap diberi masa sebulan sebelum tarikh saksi itu dipanggil,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak Hakim Suzana mengarahkan agar pihak pendakwaan menyerahkan pernyataan saksi kepada pembelaan diberi 14 hari sebelum setiap saksi hadir memberi keterangan.

Justeru mahkamah menetapkan tarikh 9 Mei ini bagi satu lagi pengurusan kes.

Sebelum ini, mahkamah dimaklumkan seramai 47 saksi akan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah itu.

Hakim Suzana telah menetapkan perbicaraan kes Adam Radlan, 43, selama 15 hari yang bermula pada 27 hingga 29 Mei, 10 hingga 12 Jun, 9 hingga 11 Julai, 22 hingga 24 Julai dan 5 hingga 7 Ogos 2024.

Pada tahun lalu, Adam Radlan mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan rasuah dan tujuh pengubahan wang haram selepas didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Bagi lima pertuduhan rasuah Adam Radlan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara bagi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram ahli perniagaan itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI