fbpx
KINI, anak-anak kembar Halima dan Kader yang berusia hampir tiga tahun kelihatan terus membesar dengan sihat selepas mencipta kelahiran bersejarah pada Mei 2021. Mereka mencatat rekod dunia Guinness World Records sebagai kembar dengan jumlah paling banyak yang dilahirkan dalam satu kelahiran dengan semuanya selamat.

‘Sembilan anak kembar ini tanda kebesaran Allah SWT’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

APABILA diberitahu dia hamil kembar tujuh sekitar tiga tahun lalu, Halima Cisse, 29, berasa gementar, lebih-lebih lagi apabila para doktor memaklumkan bahawa ada kemungkinan agak besar anak-anaknya itu tidak mampu diselamatkan.

Halima yang berasal dari Timbuktu, Mali terpaksa dipindahkan ke sebuah klinik pakar di Maghribi dan di situ dia mendapat tahu bahawa dia sebenarnya hamil kembar sembilan.

Siapa sangka, kuasa Allah SWT, Halima berjaya melahirkan kesemua anaknya dengan selamat pada 4 Mei 2021 di klinik Ain Borja, Casablanca.

Biarpun lahir pramatang, empat bayi lelaki dan lima bayi perempuan Halima dan suaminya, Kader Arby, 38, membesar dengan sihat.

Pasangan suami dan isteri itu juga mencatat rekod dunia Guinness World Records sebagai kembar dengan jumlah paling banyak yang dilahirkan dengan selamat.

Sebelum ini, rekod tersebut dipegang oleh seorang wanita dari Amerika Syarikat, Nadya Suleman yang melahirkan lapan orang bayi dengan selamat pada 2009. Bagaimanapun, ia secara in vitro fertilisation (IVF).

Halima menjadi wanita pertama di dunia yang dikatakan berjaya melahirkan 9 anak dalam satu kelahiran dan kesemuanya hidup.

Sebelum Halima, tiada rekod seorang wanita pun di dunia yang berjaya melahirkan anak kembar sebanyak itu dan anak-anak itu kemudian hidup lebih daripada beberapa jam.

Kelahiran bayi kembar sembilan itu menurut Halima merupakan satu rahmat dan keajaiban Allah SWT.

“Syukur kerana kesemua mereka membesar dengan sihat. Hari demi hari, mereka membesar dan menjadi semakin kuat, sehinggalah kami dibenarkan pulang ke kampung halaman,” katanya.

Biarpun membesar dengan sihat, Halima mengakui menjaga sembilan bayi proses yang cukup meletihkan.

“Ia sukar kerana mereka menuntut banyak perhatian. Mujurlah untuk menidurkan mereka pada waktu malam, kami hanya perlu memeluk mereka. Mereka memang sukakan pelukan untuk tidur.

“Apabila mereka sudah mula pandai bergerak pula, saya perlu sentiasa ada di sisi untuk perhatikan mereka,” katanya.

Sembilan kembar itu yang masing-masing dilahirkan dengan berat antara 500 gram hingga satu kilogram, tinggal di Maghribi selama 19 bulan sebelum pulang ke Mali pada Disember 2022.

Kini, selepas tiga tahun, bayi-bayi Halima itu kembali mendapat perhatian apabila dilaporkan diterbangkan ke Itali bagi membuat kemunculan khas di rancangan televisyen Lo Show dei Record yang merupakan program keraian Guinness World Records.

Halima dan Kader menunjukkan pengiktirafan Guinness World Records yang diraih keluarga mereka.

Kesemua anak itu dilihat begitu sihat dan membesar dengan baik.

Mengimbau detik melahirkan sembilan bayi, Halima berkata, anak-anaknya itu iaitu Adama, Oumou, Hawa, Kadidia, Fatouma, Oumar, Elhadji, Bah dan Mohammed VI dilahirkan secara pembedahan caesarean.

Halima juga hanya ditemani oleh adik perempuannya, Aisha ketika proses kelahiran kembar sembilan itu memandangkan suaminya terpaksa tinggal di Timbuktu akibat sekatan perjalanan Covid-19.

“Ketika melahirkan anak-anak saya, banyak persoalan yang bermain di minda saya ketika itu. Saya sedar apa yang sedang berlaku dan ketika itu, saya berasa seperti bayi tidak putus-putus keluar dari perut saya.

“Ketika itu juga, apa yang bermain di fikiran adalah siapa yang boleh membantu saya menjaga kesemua sembilan bayi ini,” kongsinya seperti dipetik Daily Mail.

Halima yang berkahwin dengan Kader pada 2017 juga ketika itu sudah pun mempunyai seorang anak perempuan iaitu Souda yang kini berusia lima tahun.

“Melahirkan seorang anak sahaja sudah begitu sukar, apatah lagi melahirkan sehingga sembilan bayi.

“Begitu banyak yang perlu dilakukan untuk menjaga kesemua mereka. Apa pun, saya berterima kasih kepada petugas perubatan hospital dan juga kerajaan Mali kerana menaja kelahiran anak kami,” katanya.

Proses kelahiran yang kompleks dan penuh berisiko itu juga menjadikan Halima hampir meninggal dunia akibat kehilangan darah yang banyak, kesan daripada uterusnya yang mengembang.

Malah, doktor turut mencadangkan kepada Halima untuk menangguhkan kelahiran bayinya itu bagi memberi masa kepada fetus untuk berkembang.

Klinik itu juga mengerahkan seramai 30 orang petugas perubatan bagi membantu proses kelahiran dan penjagaan anak-anak Halima dan Kader.

Sebagai seorang bapa pula, Kader yang merupakan anggota pasukan tentera laut Mali mengakui membesarkan 10 orang anak adalah mencabar memandangkan ia menuntut perbelanjaan yang besar.

“Banyak yang perlu kami bimbangkan, namun apa yang penting kami sangat bersyukur dan mahu kekal positif.

“Fokus kami adalah untuk menjaga mereka dan memberikan mereka sebuah rumah yang selesa. Tiada apa yang dapat menjelaskan kelahiran penuh ajaib ini selain kebesaran Allah SWT. Kami berbangga, ia suatu yang luar biasa dan keluarga saya kini dikenali dunia. Ia satu yang hebat,” kata Kader.

Pengguna media sosial yang turut mengikuti perkembangan kembar sembilan itu teruja melihat mereka membesar dengan sihat.

“Saya mengharapkan rahmat sebegini juga buat anak-anak saya. Saya mahukan kembar tiga,” tulis seorang netizen.

“Saya tidak dapat membayangkan bagaimana ibu ini tidur,” tulis seorang lagi pengguna media sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN