fbpx

Polis analisis rakaman CCTV insiden KK Mart dibaling bom petrol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
OBJEK (Gambar kecil) dipercayai berisi minyak tanah yang dilempar ke arah kedai serbaneka KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor, Perak awal pagi tadi. - GAMBAR HIASAN

IPOH – Polis telah mendapatkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kedai serbaneka KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor yang dibaling objek dipercayai bom petrol dalam kejadian pagi tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, rakaman CCTV itu akan dianalisis untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti pelaku dan kenderaan yang digunakan.

Katanya, setakat ini, bilangan individu yang terlibat dalam kejadian itu masih lagi dalam siasatan.

“Maklumat kejadian khianat itu diterima daripada pekerja kedai serbaneka iaitu seorang wanita berusia 20 tahun yang memberitahu telah terdengar bunyi botol pecah di hadapan premis. Pengadu segera membuat pemeriksaan dan mendapati terdapat serpihan kaca serta bahan letupan menyerupai mercun di atas lantai kedai.

“Berdasarkan laporan, wanita itu memaklumkan ada terhidu bau seperti minyak tanah daripada serpihan kaca itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Pencegahan ‘Phone Scam’ anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak dan Pos Malaysia Berhad, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.

Menurut Mohd. Yusri, objek yang dilempar di hadapan kedai serbaneka itu bagaimanapun tidak melibatkan letupan mahupun kebakaran di premis berkenaan.

Sementara itu, dalam perkembangan sama beliau berkata, sebanyak 22 laporan polis diterima di seluruh negeri berkaitan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah dan telah dirujuk kepada laporan asal yang dibuat di Batu Kikir, Negeri Sembilan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI