fbpx

Kerajaan kekal keputusan beku kemasukan pekerja asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengekalkan keputusan untuk membekukan kelulusan kuota kemasukan pekerja asing baharu rentetan bilangan pekerja dalam negara telah menghampiri sasaran yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, jumlah pekerja asing yang bekerja dalam negara adalah seramai 2,171,798 orang berlandaskan kepada rekod Jabatan Imigresen Malaysia setakat 15 Mac.

Menurut beliau, kerajaan telah menetapkan bilangan pekerja asing dalam negara tidak boleh melebihi 15 peratus daripada jumlah guna tenaga negara menjelang tahun 2025.

“Kerajaan dalam proses untuk memuktamadkan saringan ke atas Pendatang Asing Tanpa
Izin (PATI) di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK) seliaan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Justeru, sebarang keputusan berkenaan pembukaan semula kuota pekerja asing akan ditetapkan setelah kerajaan mendapat perincian penuh berkaitan jumlah kuota pekerja asing yang masih belum memasuki negara sebelum atau pada 31 Mei dan juga dapatan program RTK 2.0 yang akan berakhir prosesnya pada Jun 2024,” jelasnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai status kekurangan pekerja asing, jumlah yang masih diperlukan dan usaha yang dijalankan untuk mengatasi masalah-masalah yang bangkit termasuk rombakan dalam agensi-agensi Kementerian.

Dalam pada itu, Steven berkata, berdasarkan dapatan yang diperoleh daripada Agensi Kawal Selia mengikut sektor, anggaran tenaga kerja yang diperlukan adalah seramai
308,570.

“Kuota baharu hanya akan dipertimbangkan mengambil kira baki kuota yang masih ada dari unjuran 15 peratus tenaga kerja selepas pengemaskinian jumlah kuota pekerja asing yang aktif dan RTK 2.0.

“Baki kuota yang tinggal akan disalurkan kepada sektor atau sub sektor kritikal dan mempunyai impak yang tinggi kepada hasil ekonomi negara,” katanya.

Selain itu, kerajaan melalui Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing pada 16 Januari lalu telah menyediakan satu proses memudahcara penggajian pekerja asing secara sistematik.

“Ia akan memudah dan mempercepat proses di mana tempoh masa permohonan kuota kemasukan pekerja dikurangkan dari 29 bulan ke 15 bulan.

“Dasar baharu ini akan bermula selepas kerajaan menarik balik pembekuan kelulusan kuota,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI