PETALING JAYA – Selepas beberapa hari menjadi topik hangat dalam media sosial, hubungan pelakon Abby Abadi dengan anak perempuannya, Marissa Dania Hakim, dilihat kembali jernih apabila mereka meluangkan masa bersama di sebuah restoran.
Menerusi Insta Story yang dikongsikan Marissa, dia memuat naik gambar gelang yang dipakainya bersama Abby sambil menulis kapsyen ringkas ‘sama sepadan’ sekali gus mengundang perhatian ramai.
Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan kemudian berkongsi video memaparkan mereka duduk bersebelahan sambil menikmati hidangan dalam suasana santai.
Turut sama memeriahkan pertemuan itu ialah rakan karibnya yang juga anggota kumpulan Elite, Azza.
Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen yang meluahkan rasa syukur melihat hubungan ibu dan anak itu kembali mesra selepas mencetuskan pelbagai spekulasi.
Dalam masa sama, Abby pula menafikan dakwaan kononnya dia berselisih faham dengan Marissa, sebaliknya menjelaskan luahan yang dimuat naik sebelum ini bukan ditujukan kepada anaknya.
“Saya tak gaduh pun dengan anak saya.
“Saya tuju hantaran hari itu untuk mereka, bukan untuk Marissa. Kalau baca betul-betul mesti faham,” katanya.
Terdahulu, hubungan Abby dan Marissa menjadi perhatian apabila pelakon itu tidak menghadiri majlis sambutan ulang tahun kelahiran anak keduanya itu.
Bagaimanapun, Marissa menjelaskan dia sudah menghantar jemputan kepada ibunya dan berharap Abby dapat hadir meraikan hari istimewa tersebut.
Susulan isu berkenaan, media sosial dibanjiri pelbagai andaian termasuk segelintir netizen yang menyerang pula bekas suami Abby, Norman Hakim, serta isterinya, Memey Suhaiza.
Namun, penjelasan Abby dan pertemuan terbaharu bersama Marissa kini meredakan segala spekulasi yang berlegar sebelum ini. – KOSMO! ONLINE














