fbpx

PATI beri alasan melawat saudara sakit, mahu kerja di KL ketika dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Faizal (kiri) menyoal siasat sebahagian PATI yang ditahan semasa menaiki bas ekspres dan kenderaan persendirian di Stesen Penguat Kuasa JPJ Gua Musang hari ini. FOTO AIMUNI TUAN LAH/KOSMO!

GUA MUSANG – Sebahagian daripada 74 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dicekup di dalam bas ekspres dan kenderaan persendirian memberi alasan mereka ingin melawat saudara sakit dan ingin mencari pekerjaan di Kuala Lumpur.

Kesemua warga asing itu ditahan dalam Operasi Bersepadu selama lima jam melibatkan Jabatan Imigresen (JIM) Kelantan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Stesen Penguat Kuasa JPJ Gua Musang di sini malam tadi.

Pengarah JIM Kelantan, Mohd. Faizal Shamsudin berkata, operasi bermula pada pukul 10.30 malam sehingga 3.30 pagi itu melibatkan seramai 35 anggota JIM dibantu 12 anggota JPJ yang memeriksa bas ekspres dan kenderaan persendirian selepas melalui jalan utama Gua Musang-Kuala Lipis.

Menurutnya, seramai 74 PATI yang ditahan terdiri daripada 34 orang warganegara Bangladesh, Myanmar (18), India (7), Indonesia (7), Pakistan (5), Filipina (2) dan Kemboja (1).

“70 daripada PATI itu merupakan orang lelaki manakala empat lagi wanita dan mereka terdiri daripada pelbagai peringkat umur.

“Hasil soal siasat mendapati, ada antara mereka menaiki bas ekspres ke Kuala Lumpur untuk mencari kerja di sana malah ada yang dengan memberi alasan melawat saudara sakit di Seremban, Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Bersepadu dilaksanakan di Stesen Penguat Kuasa JPJ Gua Musang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Faizal memberitahu tiga kesalahan telah dikesan termasuk satu kes melibatkan seorang PATI membawa tiga penumpang yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Proton Exora telah disita manakala pemandu bersama tiga daripada empat penumpang kenderaan tersebut yang merupakan warga Pakistan turut ditahan.

“Kesalahan paling banyak dikesan dilakukan oleh PATI dalam operasi ini adalah tinggal lebih masa daripada pas atau permit yang dibenarkan diikuti tidak mempunyai sebarang pas yang sah untuk memasuki dan berada di Malaysia.

“Kes yang ketiga dikesan dalam Operasi Bersepadu kali ini iaitu warga tempatan membenarkan PATI untuk masuk dan berada di dalam premis atau kenderaan mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Mohd. Faizal, kira-kira 480 PATI berjaya ditahan di dalam beberapa operasi yang telah dijalankan sejak Januari lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI