fbpx
Keadaan rumah bertingkat di Kampung Kenangan, Sungai Tekali, Hulu Langat.

Bekas penyewa nafi warga asing bina flat tular Hulu Langat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HULU LANGAT – Seorang bekas penyewa di penempatan Kampung Kenangan, di sini menafikan dakwaan bahawa warga asing membina rumah-rumah di kawasan tersebut, sebaliknya mendakwa ia didirikan oleh pemilik tanah sebelum disewakan kepada warga asing.

Warga Myanmar, Hussin, 31, yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berkata, dia pernah tinggal di penempatan itu selama kira-kira lima tahun sebelum berpindah selepas operasi penguatkuasaan dijalankan tahun lalu.

“Datang sini sebab sewa murah. Saya duduk situ sudah lima tahun.

“Sewa sebulan RM350 hingga RM400 termasuk bil air dan elektrik. Rumah di sini ada kira-kira 20 pintu. Ada warga asing tinggal berseorangan dan ada juga yang tinggal bersama keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Menurutnya, penempatan berkenaan pernah diserbu pihak berkuasa kerana terdapat penghuni yang tidak memiliki dokumen sah.

“Tahun lalu penempatan ini telah diserbu oleh pihak berkuasa disebabkan ada antara penduduk tidak mempunyai dokumen. Jadi saya ada dokumen, saya tidak ditahan oleh pihak berkuasa,” ujarnya.

Tambahnya, selepas operasi itu, pihak berkuasa meminta penghuni mengosongkan kawasan berkenaan kerana sebahagian binaan didakwa didirikan di atas tanah rizab.

“Sekarang saya duduk di kawasan sekitar. Tempat ini pun sudah lengang sejak setahun lalu dan semua dah tak duduk di sini,” katanya.

Hussin turut menegaskan bahawa pembinaan rumah-rumah tersebut bukan dilakukan oleh warga asing.

“Pemilik tanah warga tempatan, dia yang bina rumah ini dan menyewakan kepada warga asing. Saya nafikan bahawa warga asing yang bina rumah berkenaan,” jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi bekas penghuni rumah berkenaan, Abdullah, 36, berkata sebelum ini penempatan tersebut dihuni kira-kira 40 hingga 50 penduduk daripada sekitar 30 keluarga.

Menurutnya, keadaan rumah yang didiami mereka juga serba daif dan tidak selesa.

“Cuba tengok (rupa rumah ini). Sini pun orang tak berani (nak duduk). Siapa yang berani tinggal di rumah macam ini?. Rumah burung pun lagi cantik,” katanya.

Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan kewujudan flat empat tingkat yang sangat uzur, di samping sambungan paip air dan pendawaian elektrik yang mencurigakan dipercayai didiami komuniti Rohingya di Sungai Tekali.

Semalam, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memaklumkan telah mengambil tindakan penguatkuasaan termasuk mengeluarkan notis terhadap struktur binaan tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan di kawasan berkenaan.

Menurut MPKj, semakan mendapati pembinaan itu melibatkan Lot 217, Lot 218 dan sebahagian tanah kerajaan iaitu rizab sungai bersebelahan Kampung Kenangan 18, Sungai Tekali, Mukim Hulu Langat.

Selain itu, tiada sebarang permohonan Kebenaran Merancang, Pelan Infrastruktur dan Pelan Bangunan dikemukakan melalui Sistem One Stop Centre 3.0 Plus Online MPKj bagi pembinaan di kawasan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN