Gambar hiasan

Scammer inap desa ligat tipu perantau balik raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kumpulan penipu kini rancak mencari mangsa mereka di media sosial dengan menawarkan inap desa kepada perantau yang akan pulang beraya ke kampung kira-kira tiga minggu lagi.

Mengikut modus operandi, suspek menggunakan gambar-gambar homestay pemilik asal bagi meyakinkan orang ramai yang berurusan dengan mereka.

Scammer terbabit dikesan menyertai kumpulan atau komuniti inap desa seperti Kuala Kangsar Homestay, Homestay Terengganu dan Homestay Malaysia untuk mencuri gambar berkaitan bagi mengaut untung atas angin.

Bagi menarik pelanggan mereka, suspek meletakkan caj sewa yang rendah, malah inap desa yang ditawarkan sentiasa kosong sedang­kan kebanyakan tempahan bagi musim perayaan Aidilfitri tahun ini sudah penuh.

Tinjauan! Kosmo! di media sosial mendapati ada individu yang dilaporkan menjadi mangsa ke­giatan scammer yang menggunakan taktik sama.

Seorang wanita dikenali sebagai Norehan Mohd. Akhir berkongsi cerita dia menjadi mangsa penipuan inap desa yang bergiat aktif di Facebook Home­stay Malaysia.

“Saya sudah menempah homestay untuk Aidilfitri ini kira-kira dua bulan lebih awal dan bayar deposit, tiba-tiba tuan rumah beritahu dia hendak batalkan tempahan kerana ahli keluarga­nya akan pulang beraya.

“Pemilik mahu memulangkan semula wang deposit, kita tunggu juga akhirnya kena tipu RM600. Sedih rasanya,” katanya.

Seorang lagi mangsa penipuan dikenali sebagai Nanie Ripin pula memberitahu, dia menempah dua buah inap desa dengan seorang individu bagi tarikh 7 hingga 9 April ini.

“Sudah bayar semua (sewa), kemudian panggilan telefon tidak angkat (dijawab), kiriman WhatsApp juga tidak balas. Hati- hati kepada semua yang masih mencari homestay.

“Scammer (penipu) masih ligat mencari mangsa lebih-lebih lagi menjelang raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.

Pengalaman sama turut dikongsi oleh mangsa dikenali sebagai Wan Za menerusi kumpulan Facebook Homestay Terengganu.

“Dalam kita berhati-berhati agar tidak tertipu dengan scammer (akhirnya) kena juga dengan scammer homestay sehingga kerugian RM500.

“Saya tidak halalkan duit saya. Anda sepakat untuk menipu saya,” luahnya.

Di Tumpat, Kelantan, pemilik inap desa di Kampung Kubang Batang, Siti Aisyah Ruhiyah Ramzai, 31, memberitahu, dia pernah menjadi mangsa scammer apabila gambar premis miliknya iaitu Baroh Inn &

Chalet yang diusahakan sejak empat tahun lalu digunakan bagi tujuan penipuan.

Siti Aisyah berkata, dia terkejut apabila mendapati gambar dua buah banglo dan chalet 17 bilik miliknya dipromosikan secara besar-besaran di media sosial oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Saya hanya sedar mengenai perkara ini apabila ada pelanggan yang terdiri daripada 10 keluarga menjadi mangsa tipu.

“Mereka datang ke sini untuk menginap, namun semakan mendapati keluarga itu tidak pernah berurusan dengan saya. Scammer itu licik kerana iklankan gambar homestay saya di media sosial,” katanya.

Sejak kejadian itu, siti Aisyah lebih berhati-hati dan sentiasa memantau gambar inap desa yang dimuat naik di media sosial.

“Semua urusan sewa dibayar ke akaun atas nama inap desa, namun masih ada pelanggan yang memindahkan wang kepada akaun individu,” kata wanita itu.

Siti Aisyah berkata, sempena Aidilfitri tiga minggu lagi, dua buah banglo dan chalet milik­nya sudah habis ditempah perantau sejak Disember lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN