fbpx
Anggota polis mengangkat mayat mangsa yang ditikam secara bertubi-tubi dalam kejadian di Shah Alam kelmarin.

Dibunuh selepas pukul kawan guna kayu giling tepung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Seorang lelaki Pakistan bertindak di luar dugaan apabila menikam bertubi-tubi rakan sekerjanya selepas berang dengan tindakan mangsa meminum air oren yang dibelinya untuk berbuka puasa dalam kejadian di sebuah kilang di Seksyen 36 di sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 7.20 petang itu berlaku apabila suspek berusia 59 tahun membunuh mangsa berumur 49 tahun menggunakan sebilah pisau dapur ketika berada di dalam kontena yang dijadikan asrama kilang.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa telah menyedut sedikit air oren yang dibeli suspek di bazar Ramadan berdekatan sebagai juadah untuk berbuka puasa.

Suspek yang tidak berpuas hati kemudian telah menegur perbuatan mangsa sebelum lelaki Bangladesh itu memukul rakannya dengan kayu penguli tepung.

Suspek yang marah kemudian telah pergi ke dapur untuk mengambil pisau lalu menikam mangsa berkali-kali.

Mereka sebelum ini tidak pernah bergaduh walaupun telah tinggal bersama di hostel itu sejak 2019.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan daripada seorang pekerja lelaki warga India yang turut tinggal di asrama berkenaan.

Katanya, siasatan mendapati mangsa dan suspek merupakan pekerja am di kilang tersebut.

“Mangsa telah bekerja di negara ini sejak 2018, manakala suspek setahun selepas itu. Mereka tinggal bersama-sama di dalam kontena yang dijadikan asrama (pekerja) kilang.

“Siasatan mendapati punca kejadian disebabkan suspek marah selepas air orennya diminum mangsa semasa berbuka puasa. Suspek telah mengambil pisau dari dapur dan menikam mangsa beberapa kali,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurut Mohd. Iqbal, polis yang menjalankan siasatan kemudian dapat menahan suspek pada pukul 7.30 malam di lokasi kejadian dan turut merampas pisau yang digunakan untuk membunuh mangsa.

Tambahnya, suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Polis masih belum dapat memastikan jumlah tikaman yang dilakukan kerana perlu menunggu laporan bedah siasat.

Sehubungan itu, polis me­minta mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian supaya ­menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Md. ­Anuar Md. Amilah @ Harun di talian 019-225 5597 bagi membantu siasatan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN