fbpx

Sudah tiba masa hidupkan semula perbincangan FTA Malaysia-EU – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika menyampaikan ucaptama di Hamburg, Jerman semalam.

PETALING JAYA – Sudah tiba masanya Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) menghidupkan semula perbincangan mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) untuk mengukuhkan hubungan dua hala dan integrasi serantau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dengan FTA, Eropah akan dapat memanfaatkan Malaysia sebagai pintu masuk ke Asia.

“Eropah boleh manfaatkan dasar pasaran terbuka yang dipermudahkan menerusi FTA ASEAN, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP),” tulis beliau di hantaran Facebook, hari ini.

Perdana Menteri berkata, Malaysia bukan sahaja terbuka menerima perniagaan tetapi juga bersedia berinovasi dan bekerjasama dalam usaha niaga berkualiti tinggi sejajar dengan matlamat negara serta tanggungjawab global.

Beliau turut mengambil peluang membicarakan mengenai kerangka Ekonomi Madani yang mencerminkan komitmen negara ke arah menjadi ekonomi utama Asia serta memacu pembangunan mampan dan inklusif.

Jelasnya, kerangka ekonomi itu membayangkan masyarakat berkongsi kemakmuran, mendukung integrasi Asean lebih kukuh dan ekonomi yang kompleks serta membangunkan Malaysia sebagai kuasa utama serantau.

“Saya juga tekankan pendirian berkecuali Malaysia, menjadikan negara ini di kedudukan yang baik untuk menjalankan perniagaan dan perdagangan dengan blok Timur dan Barat.

“Langkah ini sekali gus mengukuhkan daya tahan Malaysia berdepan dengan cabaran geopolitik yang tidak menentu.

“Saya turut berkongsi terkait sektor tenaga, di mana Sarawak adalah negeri penting yang mengeksport tenaga ke Nusantara, ibu negara baharu Indonesia serta melalui kabel dasar laut ke Singapura dan ke Semenanjung,” kata beliau.

Justeru beliau berkata, Malaysia bersedia menyokong peralihan tenaga Jerman menerusi gas asli sebagai bahan api peralihan, sekali gus mengimbangi keperluan segera keterjaminan tenaga Jerman dengan matlamat kemampanan jangka panjang.

“Saya percaya kerjasama antara Malaysia dan Jerman mampu memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak termasuk rakyat keseluruhannya,” jelas Anwar. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI