fbpx

Jangan culas berpuasa di bulan Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

RAMADAN sudah memasuki hari kelima. Banyak kebaikan yang Allah SWT sediakan pada bulan mulia ini untuk hamba-Nya yang beriman dan bertakwa.

Namun, disebalik keberkatan itu, masih ada dalam kalangan kita yang culas dalam menunaikan rukun Islam yang ketiga ini.

Maksud culas itu merujuk kepada individu yang beragama Islam yang berada dalam keadaan mampu menunaikan kewajipan berpuasa, tetapi memilih untuk tidak melakukannya.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, amatlah rugi jika ada umat Islam yang tidak memenuhi siang hari Ramadan dengan ibadat puasa serta menghidupkan malamnya dengan ibadat qiyam dan tadarus al-Quran.

Menurutnya, sebagai umat Islam kita tidak seharusnya melepaskan peluang keemasan ini berlalu dengan begitu sahaja.

“Dalam sebuah hadis, Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: “Sekiranya kamu tahu kelebihan yang ada dalam bulan Ramadan, tentu kamu bercita-cita supaya sepanjang tahun menjadi Ramadan”

“Antara kelebihan yang ada dalam bulan yang mulia ini adalah keampunan dosa terdahulu bagi sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada ibadat dan kebajikan yang dilakukannya.

“Dinyatakan juga di dalam hadis bahawa sepanjang bulan ini dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu segala syaitan. Dengan demikian, Allah membuka peluang kepada hamba-Nya yang beriman serta memudahkan mereka beribadah dan membuat kebajikan pada bulan suci ini,” katanya di sini.

Jelas beliau lagi, bulan Ramadan sebenarnya adalah masa yang paling sesuai bagi setiap individu Muslim untuk membersihkan hati menerusi pelbagai amalan ibadat dan kebajikan.

“Inilah kesempatan terbaik untuk kita kembali kepada fitrah kebersihan diri masing-masing seperti keadaan asal yang dijadikan Allah. Dengan kesucian asli inilah kita layak memasuki syurga Allah di dalam kehidupan akhirat yang abadi nanti.

“Tidak harus dilupai juga nikmat terbesar yang Allah kurniakan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w., iaitu nikmat penurinan al-Quran sebagai panduan hidup yang membawa kesejahteraan ke atas umat Islam di dunia dan akhirat,” ujarnya.

Justeru, beliau menasihati kepada segelintir orang Islam yang masih culas menunaikan ibadah puasa Ramadan supaya mengubah sikap dan turut bersama majoriti masyarakat Islam menunaikan kewajipan itu.

“Paksakanlah diri supaya taat kepada perintah Allah SWT. Percayalah dengan mentaati perintah-Nya akan menambahkan lagi keberkatan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader turut menggesa orang ramai agar tidak membazirkan makanan sempena Ramadan ini selain tidak bersikap boros dalam setiap pembelian juadah berbuka puasa.

“Kajian menunjukkan pembaziran makanan meningkat antara 15 peratus hingga 20 peratus semasa Ramadan berbanding purata di bulan lain.

“Dilaporkan pada 2023 sebanyak 90,000 tan makanan dibuang ke dalam tong sampah di seluruh negara sepanjang Ramadan.

“Kerakusan atau bersikap kelahapan juga boleh memberikan kesan sampingan kesihatan yang serius seperti diabetes, penyakit koronari dan tekanan darah tinggi bagi mereka yang memuaskan hati dengan menurut hawa nafsu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI