fbpx
ISFADIAH turut menumpukan aspek pendidikan awal kanak-kanak Islam.

Arwah bapa pengaruhi keperibadian Ustazah Isfadiah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SELANGKAH keluar dari asrama tanpa pengetahuan ayah, kamu akan mencampakkan ayah ke neraka.”

Itu bait-bait kata bersulam amaran yang cukup berbekas di ingatan wanita kelahiran Jelebu, Negeri Sembilan ini.

Kata-kata itu jugalah yang membuatkan dirinya langsung tidak berani untuk keluar dari asrama walaupun dibenarkan dua kali dalam sebulan hinggalah habis pengajian sekolah menengah.

Dibesarkan bapanya dengan ketegasan sebagai seorang askar dan menerapkan elemen berani, jujur serta berpegang kepada agama dengan kukuh, itulah sebenarnya yang membentuk diri Ustazah Isfadiah Mohd. Dasuki.

“Ayah saya sendiri yang mengajar kami membaca al-Quran. Dia turut gigih mengajar kami sembahyang dan semak semula hafalan bacaan dalam solat.

“Ketegasan dan garangnya ayah saya dalam mengasuh kami empat beradik amat beri kesan kepada diri saya sehingga saya kini cenderung untuk menjejaki dunia parenting Islami (keibubapaan Islam).

“Dalam erti kata lain, saya cenderung ke arah bidang itu (parenting Islami) dengan niat memudahkan urusan para ibu bapa dengan menggunakan kaedah terbaik mengikut gaya Nabi Muhammad SAW dalam mendidik anak-anak dan generasi,” kata wanita berusia 53 tahun itu saat membuka mukadimahnya.

Bersempena Ramadan, Aura menampilkan Isfadiah yang merupakan penceramah bebas, pakar motivasi keibubapaan dan bekas pensyarah terkenal ini.

Menurutnya, keterlibatannya dalam bidang motivasi dan penyampaian ceramah banyak dipengaruhi arwah bapanya.

“Saya tidak akan maafkan diri saya jika tak beri penghargaan ini kepada arwah ayah saya.

“Sejak di universiti lagi, selepas saya dapat ‘kebebasan’ untuk keluar sendiri tanpanya, dia insan yang memberi galakan untuk terlibat dengan aktiviti-aktiviti wanita di kampung dan motivasi di sekolah-sekolah, juga di universiti.

“Keterlibatan saya di dalam media massa khasnya televisyen bermula pada tahun 2012, sebagai juri program Solehah di saluran AlHijrah kemudian berlanjutan menjadi panel jemputan di stesen televisyen lain serta radio kemudiannya dikenali sebagai penceramah bebas,” katanya.

Kongsinya lagi, cuma apa yang di luar sangkaannya adalah orang ramai acapkali keliru dan menganggap dia adalah anak kepada ahli politik, Datuk Dusuki Ahmad.

“Kekeliruan ini makin menjadi-jadi dan bertambah bila ada yang anggap saya anak kepada penceramah, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani.

“Dia (ustaz) muda lima tahun daripada saya. Nama ayah saya Mohd. Dasuki. Saya akui nama seakan sama tapi yang pastinya nama dan orangnya berbeza.

“Sewaktu ayah saya meninggal dunia pada tahun 2019, tersebar berita di media sosial mengatakan Ustaz Ahmad Dusuki yang meninggal dunia.Sehingga ke hari ini ada beberapa pihak menganggap saya tumpang tuah nama figura-figura hebat ini.

“Saya mohon maaf atas kekeliruan ini. Di hati saya tak pernah terlintas menggunakan atau menumpang nama orang.

“Namun, peristiwa ini membuatkan saya lebih memahami diri dan orang lain. Betapa kita mudah keliru dan sangat cepat buat kesimpulan serta boleh menimbulkan salah tanggap,” katanya yang sering tabayyun (menyemak) apabila menerima sebarang maklumat.

Meneruskan perkongsian, graduan Universiti Islam Antarabangsa dalam jurusan ilmu wahyu dan sains kemanusiaan itu turut menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam jurusan psikologi di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ujarnya, pengkhususannya dalam bidang Pengajian Islam membuatkannya terfikir bahawa dia memerlukan ilmu dan kemahiran dalam menyampaikan maklumat.

“Justeru, saya ambil bidang komunikasi sebagai minor dalam ijazah saya. Terlintas pula keperluan psikologi dalam mengurus diri dan orang lain, mendorong saya untuk mengambil kursus psikologi di peringkat sarjana.

“Kalau ditanya mengenai cabaran, memang banyak dugaan, lagi-lagi selepas saya tinggalkan kerjaya sebagai pensyarah.

“Cabaran paling pahit ialah apabila dijadikan sebagai batu loncatan dan dipergunakan untuk kepentingan peribadi pihak tertentu.

“Pun begitu, cabaran terindah pula apabila saya dapat menyantuni masyarakat dengan ilmu dan agama,” tuturnya yang bersyukur dikurniakan pasangan yang sentiasa memberi semangat dan sama-sama berjuang menuju jalan Allah.

Ditanya rutin Ramadannya, Isfadiah akui, Ramadan adalah antara bulan paling padat baginya kerana memenuhi jemputan program-program ilmiah.

Katanya, dia bersyukur dan berbangga dengan masyarakat Islam di negara ini yang memiliki kesedaran untuk menambah pengetahuan agama terutama pada bulan penuh berkat ini.

“Bagi menambah erti pada ibadah di bulan Ramadan kita ini, kualiti niat kita perlu diperbaiki.

“Niat yang benar, bersih dan jelas akan mempengaruhi kualiti ibadah kita juga. Ramadan adalah syahrul Quran, mesrakan diri dan jiwa kita dengan membaca dan memahaminya.

“Buatlah jadual khas bagaimana kita boleh lebih akrab dengan al-Quran. Istilah lainnya ber‘dating’lah dengan kalam Allah itu,” katanya.

Berkongsi sedikit pengalaman ketika awal berpuasa, ibu kepada enam cahaya mata ini memberitahu, arwah bapanya merupakan insan pertama yang mengajarnya berpuasa.

“Beliau menggunakan pelbagai cara memujuk saya agar bertahan, tabah dan bersabar menyudahkan puasa.

“Beliau jugalah yang berbangga dengan pencapaian puasa penuh saya semasa berumur lima dan enam tahun sampai jadi bahan bualan semasa bertandang ketika Aidilfitri.

“Cara-cara pujukan itu yang saya tak dapat lupakan sehingga kini. Beliau ceritakan kisah-kisah sedih tentang kebuluran dan kesusahan orang lain, membawa saya berjalan-jalan menjelang berbuka, membelikan kuih lapis dan pelbagai lagi cara lain,” katanya.

Isfadiah memberitahu ketika ini dia mempunyai platform bimbingan keluarga dan keibubapaan melalui Akademi Keluarga Fitrah.

Katanya, dia juga bersama Tadika Bir Ali selaku co-founder untuk membangunkan pendidikan awal kanak-kanak Islam.

“Alhamdulillah saya masih diberi kepercayaan dan rezeki selaku duta rasmi Serantau Muslim dalam misi-misi kemanusiaan di Malaysia, Lebanon, Syria, Gaziantep (Turkiye) dan Yemen.

“Saya juga dilantik sebagai duta tudung Hannasephia.kl dan tak lupa sebagai seorang saudagar kurma Madinah. Saya cenderung melibatkan diri dalam bidang dan bisnes yang mampu beri makna untuk kehidupan orang lain.

“Lima atau 10 tahun akan datang, saya melihat diri saya sebagai pendidik ummah yang memperkasa dunia keibubapaan Islam, menjadikannya mudah ditekuni dan dipelajari.

“Saya juga bercita-cita mengadakan kembara ilmu iaitu menyediakan kemudahan melancong dengan ilmu melalui travel agency saya sendiri.

“Bagaimanapun, segalanya saya serahkan kepada Allah SWT kerana saya percaya ketentuan Allah itulah yang paling indah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN