fbpx
KAWASAN parkir di Cameron Highlands yang sentiasa penuh ketika musim cuti sekolah.

Luahan pembaca: Guna aplikasi parkir terkini, jangan susahkan pengunjung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Saudara Pengarang,

BARU-BARU ini penulis berkunjung ke Cameron Highlands bersama keluarga selepas berbelas tahun tidak bercuti ke tanah tinggi yang berada dalam negeri Pahang tersebut.

Sebelum ini memang ada hasrat untuk bercuti ke sana memandangkan banyak tarikan yang sentiasa menggamit pengunjung terutamanya cuacanya yang dingin, boleh merehatkan minda yang keletihan selepas penat bekerja.

Namun, hasrat itu terpendam begitu sahaja kerana memikirkan terpaksa menempuh kesesakan yang melampau setiap kali musim cuti sekolah atau hujung minggu.

Alhamdulillah, perjalanan ke Cameron Highlands pada hari berkenaan berjalan lancar. Selepas sekian lama tidak menjejakkan kaki ke tempat pelancongan terkemuka ini, nampaknya banyak perubahan yang berlaku terutamanya di kawasan pusat perniagaan di Brinchang.

Kini sudah ada sebuah pusat beli-belah yang tersergam tidak kalah dengan bandar-bandar lain di negara ini, begitu juga kawasan Tanah Rata yang semakin menjadi perhati pelawat yang berkunjung ke situ.

Di sebalik semua itu, penulis rasa agak terkilan dengan pengurusan tempat letak kereta sepanjang tiga hari berada di tempat pelancongan tanah tinggi berkenaan.

Bayangkan bagi pengunjung dari luar Pahang yang pertama kali datang agak terkejut kerana ingin mencari premis yang menjual kupon parkir agak terhad dan terpaksa berjalan jauh semata-mata mahu membeli kupon tersebut.

Memang ada aplikasi disediakan untuk membayar parkir selari dengan teknologi semasa, cumanya sistem yang digunakan agak tidak mesra pengguna bagi pelawat yang datang dari negeri-negeri lain.

Aplikasi yang digunakan lebih mesra kepada mereka yang menetap di Pahang, sedangkan pada masa ini terdapat sistem yang sudah merangkumi seluruh negara. Penulis ada menghubungi pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan itu, jawapan yang diterima agak mengecewakan iaitu sedang dalam proses ke arah itu.

Penulis rasa kalau mahu guna aplikasi yang ada tidak sesuai kerana selepas pulang ke tempat masing-masing, ia sudah tidak lagi digunakan.

Sepatutnya, PBT di Cameron Highlands memikirkan perkara ini sejak dahulu lagi memandangkan kawasan berkenaan menjadi lokasi pelancongan terkemuka di negara ini sejak sekian lama.

Pengunjung kecewa
Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN