HANOI – Setelah cinta ditolak 10 wanita berlainan kerana fizikal yang terlalu gempal, seorang lelaki dikenali sebagai Le Hoang Long, 31, nekad menurunkan berat badannya, lapor agensi berita VnExpress.
Bentuk badan Lee berubah drastik selepas menurunkan berat badannya sebanyak 40 kilogram.
Beratnya yang sebelum ini 105 kilogram kini cuma 65 kilogram.
Hoang Long berkata, berat badannya meningkat beransur-ansur kerana gaya hidup tidak aktif dan tabiat pemakanan sehingga mencecah 105 kilogram awal 2022.
Keadaan itu bukan saja menjejaskan keyakinan dirinya, malah turut mengundang pelbagai masalah kesihatan kronik.
“Setiap kali saya meluahkan perasaan, saya ditolak. Ada wanita yang menjauhkan diri dan ada yang berterus-terang meminta saya menurunkan berat badan sebelum berhasrat untuk janji temu,” katanya.
Dia mengamalkan diet defisit kalori secara sihat tanpa mengetepikan hidangan utama harian di samping bersenam setiap hari di gimnasium.
Disiplin ketat membuahkan hasil luar biasa apabila Hoang Long mencapai berat ideal 65 kilogram dalam masa hanya enam bulan. – AGENSI














