fbpx

Kanak-kanak Myanmar bayar RM9,000 untuk masuk, kerja di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kanak-kanak lelaki warga Myanmar berusia 12 tahun antara 38 PATI yang ditahan dalam Op Kutip JIMWPKL, awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seawal usia 12 tahun, seorang kanak-kanak lelaki warga Myanmar beranimenyusup masuk ke Malaysia selepas membayar upah ejen sebanyak RM9,000.

Kanak-kanak itu yang bekerja sebagai pembantu jualan di Pasar Borong Kuala Lumpur itu antara warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur (JIMWPKL) menerusi Op Kutip, pagi tadi.

Menurut kanak-kanak itu, dia tiba di Malaysia dua bulan lalu selepas ibu bapanya membantu membayarkan upah 4 juta lakh (RM9,000) untuk masuk dan bekerja di negara ini.

“Masuk sini (Malaysia) dua bulan lepas, kerja susun barang dalam lori kalau ada orang nak beli (barangan basah). Gaji RM40 kerja dari pukul 12 tengah malam hingga 6 pagi.

“Saya datang ke sini melalui Thailand dan masuk ke Perlis. Mak ayah mengambala kambing dan lembu di kampung, mereka tahu saya berada di sini (Malaysia),” katanya yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, seramai 25 anggota menyertai Op Kutip bermula pukul 5.15 pagi sebelum tamat pukul 6.30 pagi.

Katanya, operasi tersebut dilakukan susulan risikan selama seminggu selain maklumat orang awam.

“Seramai 38 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan terdiri daripada warga Bangladesh (dua), Indonesia (tujuh) dan Myanmar (26) membabitkan 35 lelaki dewasa, dua wanita dan seorang kanak-kanak lelaki,” katanya.

Menurut beliau, kesemua yang ditahan merupakan pekerja sambilan meliputi tugas mengangkat barang belian pelanggan dan menyusun barangan kedai.

“Kita tidak membuat tangkapan terhadap majikan kerana kesemua (yang ditahan) pekerja separuh masa meliputi tugas mengangkat barangan.

“Lokasi ini kita kenal pasti sebagai ‘hot spot’ warga asing. Kita jadikan ia kawasan angkat yang dikawal selia seorang pegawai,” katanya.

Tambah Wan Saupee, pendekatan ‘kutip’ digunakan dalam operasi kali ini bagi memastikan penguatkuasaan yang berkesan selain tidak menganggu orang awam di lokasi tersebut.

“Ini salah satu pendekatan digunakan, kita tak panggil operasi serbuan tetapi operasi kutip. Kita masuk dalam (pasar) kemudian tarik keluar seorang demi seorang dan hasilnya menunjukkan penguatkuasaan berkesan.

“Kaedah ini dilihat tidak membahayakan anggota dan orang ramai yang ada di dalam pasar selain tiada adegan kejar mengejar,” katanya.

Ketika ditanya tindakan yang akan dilakukan kepada kanak-kanak yang ditahan itu, Wan Saupee berkata pihaknya akan melakukan siasatan terlebih dahulu.

“Kanak-kanak ini akan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen KL terlebih dahulu untuk dokumentasi, sekiranya ada rekod kita akan ambil tindakan seterusnya,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI