fbpx
Pemandu diingatkan agar lebih berhati-hati terutama ketika melalui jalan menuruni bukit dan berselekoh di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak.

Laluan 51 kilometer KL-Karak ‘jemput’ kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BENTONG – Laluan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) di Kilometer 37 hingga Kilometer 88 menjadi antara laluan paling berbahaya di Malaysia dengan rekod purata empat kemalangan dilaporkan berlaku setiap hari.

Statistik terkini menunjukkan meskipun hanya melibatkan jarak 51 kilometer, laluan itu telah menyumbang angka kemalangan yang tinggi secara konsisten saban hari.

Situasi itu sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna jalan raya terutama ketika musim orang ramai pulang ke kampung pada hari perayaan atau cuti persekolahan.

Sepanjang tahun 2024, sebanyak 1,364 kes kemalangan direkodkan di laluan berkenaan sebelum meningkat kepada 1,408 kes pada tahun 2025, mencerminkan trend peningkatan yang cukup ketara.

Lebih menyedihkan, kemalangan maut turut menunjukkan peningkatan apabila 19 kes direkodkan pada 2024, berbanding 26 kes pada tahun berikutnya.

Setakat Februari tahun ini sahaja, sebanyak 214 kemalangan telah berlaku dengan lima daripadanya melibatkan kematian.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihak­nya sentiasa menjalankan pemantauan rapi dan mengenal pasti 12 kawasan berisiko tinggi bagi mengurangkan kadar kemalangan.

Katanya, kawasan ‘hot spot’ yang dikenal pasti ialah di Kilometer 40, 41, 42, 43, 44, 45, 72, 73,74, 75, 76 dan Kilometer 77.

“Kawasan ini dikenal pasti berisiko kerana mempunyai selekoh tajam, cerun curam serta permukaan jalan yang tidak rata,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dalam pada itu katanya, antara faktor utama yang dilihat menyebabkan berlakunya kemalangan ialah keadaan cuaca hujan menyebabkan jalan basah, licin dan ada air bertakung di beberapa kawasan.

“Sikap pengguna jalan raya yang memandu laju di kawasan berisiko dan berselekoh juga boleh menyebabkan berlakunya kemalangan.

“Malah keadaan jalan yang gelap dan kurang pencahayaan di kawasan berisiko juga menjadi penyumbang kepada kejadian kemalangan,” katanya.

Beliau berkata, antara cada­ngan bagi mengatasi kekerapan kemalangan di kawasan berkenaan ialah dengan menaik taraf jalan di kawasan tersebut.

Selain itu katanya, langkah pencegahan boleh dilakukan dengan meningkatkan pencahayaan dan memasang lampu limpah di kawasan yang kerap berlakunya kemalangan.

Tambahnya, tindakan sete­rusnya boleh dilakukan dengan memasang lampu ‘blinker’ amaran berwarna biru di kawasan risiko tinggi kemalangan.

“Selain itu, perlu juga pemasangan papan tanda amaran di kawasan jalan licin dan kerap berlaku kemalangan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN