fbpx

DUN Selangor: PDRM, SKMM pantau dakwah online ajaran sesat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Segala bentuk pengajaran dan bahan-bahan dakwah secara dalam talian yang bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) di Selangor sedang dipantau pihak berkuasa.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, pemantauan dilakukan oleh jawatankuasa khas dibawah Majlis Agama Islam Selangor yang turut dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Katanya, semua ini bagi mengekang dan mengawal sebarang modus kegiatan dakwah berkenaan yang bertentangan dengan enakmen, fatwa serta undang-undang syariah Selangor.

“Penubuhan jawatankuasa khas ini untuk melihat perkara ini membabitkan soal-soal penguatkuasaan (bahan dalam talian).

“Ini termasuk jika alamat protokol internet (IP) berada di luar (Selangor), bagaimana penguatkuasaan boleh dibuat. Kita sedang menetapkan kaedah dan cara bagaimana untuk mengekang serta mengawal perkara-perkara sebegini,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan jumlah bahan dakwah secara talian yang telah dipantau setakat ini.

Terdahulu, Mohd. Shafie Ngah (PN-Sungai Ramal) dalam soalan tambahannya ingin mengetahui usaha kerajaan mengekang kegiatan dakwah secara dalam talian yang bertentangan dengan ASWJ.

Ketika mengulas soalan asal Mu’izzuddeen Mahyuddin mengenai pengukuhan akidah AWSJ, Mohammad Fahmi menegaskan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sentiasa konsisten dalam mengambil tindakan terhadap sebarang aduan yang berlawanan dengan Enakmen Undang-Undang Jenayah Syariah dan Fatwa Negeri Selangor.

Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia turut menjelaskan JAIS dan MAIS menggunakan modul istitabah taubat dalam aspek pemulihan kepada mana-mana individu Islam yang rapuh akidahnya terutama didakwa ajaran sesat oleh mahkamah syariah sama ada perisytiharan secara terbuka atau tertutup.

“Di samping itu, JAIS berusaha melaksanakan pencegahan ajaran-ajaran menyeleweng dan sesat melalui kawalan tauliah ceramah serta menyediakan kurikulum pengukuhan akidah di dalam silibus pelajaran bagi sekolah rendah dan menengah selian JAIS,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI