PETALING JAYA – Usaha memperluaskan dakwah Islam secara berhikmah di kawasan tumpuan pelancong seperti Bukit Bintang terus diperkasa apabila sebuah surau Jumaat dijangka diwujudkan di kawasan berkenaan dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, cadangan itu digerakkan hasil kerjasama pantas pelbagai agensi agama termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Menurutnya, idea mewujudkan surau Jumaat di Bukit Bintang itu terus disambut baik dan dilaksanakan segera oleh pasukan di bawah JPM (Hal Ehwal Agama).
“Sejak dua tahun lalu, saya bersama pasukan JPM (Hal Ehwal Agama) menggerakkan banyak program dakwah lapangan dan kebajikan di Bukit Bintang, Chow Kit dan kawasan sekitar.
“Kini sudah ada Oasis Outreach Bukit Bintang sebagai pusat gerakan dan sekarang sedang dalam usaha mewujudkan surau Jumaat yang selesa,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, antara lokasi yang sedang dipertimbangkan ialah Bangunan Yayasan Selangor yang terletak di persimpangan utama atau dikenali sebagai ‘Shibuya’ Bukit Bintang.
Katanya, bangunan tersebut berpotensi dijadikan surau atau masjid bagi memudahkan umat Islam menunaikan ibadah di kawasan tumpuan ramai itu.
Tambahnya, usaha sama turut diperluaskan ke Chow Kit dan beberapa kawasan lain dengan visi jangka panjang membina masjid yang lebih besar dan selesa.
“Tiada hasutan, tiada kebencian, tiada adu domba, kita hanya ingin sebarkan kebaikan, sebarkan kasih sayang dan sebarkan salam,” katanya. – KOSMO! ONLINE














