KUALA LUMPUR – Menyedari usianya yang kini semakin meningkat, pelakon Adam Corrie mengakui masanya lebih banyak ditumpukan untuk mengumpul bekalan menuju ke akhirat.
Antara usaha yang dilakukan Adam, 58, adalah membantu saudara baharu lebih 30 individu memeluk Islam sejak lebih 10 tahun lalu.
“Alhamdulillah selama 19 tahun saya masuk Islam, 30 lebih orang saya dah Islamkan. Itulah bekalan yang saya ada walaupun belum tentu saya punya.
“Bila orang kata usia sudah menghampiri ‘bau tanah’, saya lebih banyak memikirkan tentang mencari bekalan untuk akhirat sebab kita tidak tahu apa yang akan kita tinggalkan di dunia ini untuk anak dan isteri.
“Tetapi, walaupun rasa sudah ada bekalan, belum tentu menjadi milik kita kerana semuanya tetap bergantung kepada Allah.
“Allah sudah beri peluang, tetapi kita masih perlu berusaha melakukan yang terbaik dan sentiasa mendoakan kebaikan untuk semua orang,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran dan sidang media filem The Real Mamu, semalam.
Tegasnya, tiada apa yang perlu dibanggakan memandangkan hidayah tersebut merupakan hak mutlak Allah dan bukannya atas paksaan atau kehebatan diri sendiri.
“Saya pernah berkongsi perkara ini, tetapi mungkin ada yang terlepas baca atau tidak perasan.
“Apabila kita membantu seseorang memeluk Islam, kita tidak boleh terlalu berbangga atau menunjuk kepada orang lain.
“Kita tidak boleh rasa lebih baik daripada orang lain kerana perkara itu bukan datang daripada diri kita. Semuanya adalah ketentuan Allah,” katanya.
Dalam masa sama, pelakon filem KL Gangster itu menyifatkan peranannya mendekati golongan mualaf adalah sebahagian daripada tuntutan agama yang perlu digalasnya.
“Allah yang menggerakkan hati mereka, Allah juga yang menggerakkan hati saya sehingga kami dipertemukan dan saya membantu mereka mengucapkan syahadah.
“Jadi, saya anggap itu sebagai tanggungjawab dan amanah sebagai seorang Muslim untuk membantu mereka memahami Islam,” katanya.
Sebelum ini, Adam turut aktif dalam usaha dakwah menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diasaskannya, iaitu Pertubuhan Kembara Iman Malaysia.
Adam memeluk Islam pada 13 Julai 2007, ketika berusia 39 tahun, selepas dilapor mendapat petunjuk melalui mimpi, susulan doanya kepada Allah untuk memperoleh pegangan hidup yang lebih baik. – KOSMO! ONLINE














