fbpx
‘Smart Lane’ dilaksanakan dengan tujuan menambah kapasiti lorong di lebuh raya untuk menyuraikan lalu lintas

Smart Lane pintar atau tidak?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Pelaksanaan ‘Smart Lane’ di beberapa kawasan di sebahagian lebuh raya di negara ini telah mencetuskan perdebatan dalam kalangan pemandu kereta, kenderaan berat dan penunggang motosikal.

Ada yang menyokong pengaktifan ‘Smart Lane’ yang membenarkan kenderaan melalui lorong paling kiri iaitu lorong kecemasan yang diharamkan penggunaannya sebelum ini. Tidak kurang juga ada yang membantah kerana ‘Smart Lane’ didakwa mengelirukan pengguna, malah boleh menyebabkan pengguna bertumbuk.

‘Smart Lane’ dilaksanakan dengan tujuan menambah kapasiti lorong di lebuh raya untuk menyuraikan lalu lintas, sekali gus dapat mengurangkan kesesakan. Ia diaktifkan bergantung kepada keadaan trafik semasa terutama pada musim perayaan yang sering mengalami kesesakan teruk.

Lorong ini boleh dikenal pasti dengan papan tanda kuning sebagai titik bermulanya pembukaan laluan paling kiri dan satu lagi papan tanda sebagai titik berakhirnya. Di Lembah Klang, beberapa lebuh raya turut melaksanakan inisiatif sama pada waktu tertentu.

Berdasarkan fungsi ‘Smart Lane’, ia sememangnya nampak pintar. Pengguna juga seronok dengan adanya lorong tambahan, kesesakan tidaklah sebegitu teruk berbanding sebelum ini.

Siapa yang tidak suka apabila dapat sampai ke destinasi dituju tanpa kesesakan teruk. Jika boleh semua lorong kecemasan mahu digunakan, bukan hanya di lokasi atau waktu tertentu. Bagaimanapun, pengaktifan lorong ini menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna. Lorong kecemasan yang dahulunya ‘haram’ dilalui kini berubah menjadi halal.

Sebelum ini, pemandu kereta atau kenderaan berat yang melalui lorong kecemasan boleh dikenakan denda maksimum RM300, malah boleh diheret ke mahkamah.

Lebih menakutkan apabila kesalahan ini dirakam pengguna lain. Sebab itu, masih ada yang teragak-agak menggunakan lorong itu.

Semua maklum lorong kecemasan adalah untuk kegunaan ambulans, bomba, polis, agensi penguat kuasa dan situasi kecemasan, namun sekarang situasi sudah berbeza mengikut waktu.

Kekeliruan itu juga menyebabkan pengguna yang tidak tahu pelaksanaan ‘Smart Lane’ naik angin apabila ada pemandu kereta menggunakan lorong tersebut.

Pelaksanaan inisiatif ini sememangnya ada dihebahkan di media sosial dan media massa, namun ia dilihat tidak cukup meluas serta berterusan di semua media elektronik, media arus perdana dan radio.

Pengaktifan ‘Smart Lane’ juga membuatkan penunggang motosikal merasa keselamatan mereka terancam. Tiada lagi laluan selamat buat mereka di lorong kecemasan. Jika berlaku kesesakan, mereka terpaksa menyelit di tengah-tengah lorong lebuh raya.

Itu belum mengambil kira sikap pemandu kereta yang memecut laju di lorong kecemasan dan masih menggunakan laluan tersebut walaupun tiada lagi berlaku kesesakan.

Pelaksanaan inisiatif ini perlu ditambah baik dengan melihat kepentingan semua pihak melibatkan pemandu kereta, penunggang motosikal dan terutamanya pengguna utama lorong itu seperti ambulans dan bomba.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN