Daripada seorang penggemar beg tangan, kini ia menjadi profesion Nur Hanum apabila dirinya bergelar personal shopper beg-beg tangan mewah. Nur Hanum membantu orang ramai secara 'worldwide' untuk mendapatkan beg-beg tangan berjenama impian mereka yang sangat terhad dan sukar didapati.

Dulu Nur Hanum cikgu sekolah, kini ‘bergelumang’ beg tangan mewah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEPUTUSAN untuk meninggalkan kerjaya sebagai seorang pendidik beberapa tahun lalu bukanlah satu perkara mudah untuk dilakukan.

Beberapa kali berfikir selain meminta pandangan keluarga tercinta, wanita muda ini akhirnya nekad meninggalkan kerjaya mulia itu.

Menurut Nur Hanum Mohd. Subri, 32, dia langsung tiada penyesalan apatah berasa serba salah dengan keputusannya itu meskipun ramai beranggapan tindakannya bagai merugikan diri.

Bagi anak jati negeri Jelapang Padi itu, dia ada sebab musabab kenapa memilih meninggalkan kerjaya yang boleh dikatakan sudah terjamin dari segi ekonomi dan mempunyai pencen di hari tua itu.

“Kalau ikutkan cinta dan impian saya memang untuk bergelar pendidik sejak kecil lagi.

“Justeru, saya lanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Guru dengan mengambil Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Matematik Rendah hinggalah bergelar pendidik,” katanya kepada Aura.

Jelas Nur Hanum, sebenarnya sejak berada di alam kampus, minatnya terhadap perniagaan sudah mula ada dan buktinya dia melakukan pelbagai jenis perniagaan bagi meraih pendapatan sampingan.

Katanya, sejak di kampus juga, dia mula jatuh cinta dengan pelbagai beg tangan hingga mendorongnya untuk memborong secara agresif dan kemudian menjualnya.

“Saya ini seorang yang sukakan beg tangan. Minat saya terhadap beg-beg berjenama mewah dari luar negara juga memang dah ada sejak menuntut di kampus lagi.

“Jadi dari situ, saya mula membuat jualan secara offline. Tidak hanya beg, saya turut jual pelbagai barangan lain termasuklah baju, tudung dan macam-macam lagi,” ujarnya.

Ungkap anak ketiga daripada enam beradik ini, bila jualan yang dilakukan mendapat permintaan dan hasil positif pelanggan, ‘keghairahannya’ berniaga semakin membuak-buak.

Daripada sekadar menjual kepada kenalan terdekat, pelanggannya mula berkembang kepada orang luar dan menjangkaui pelbagai status dan demografi.

Nur Hanum meninggalkan kerjaya guru pada awalnya adalah untuk memberi fokus kepada bisnes menjual beg tersebut.

Ketika itu juga, Nur Hanum tinggal berjauhan dengan suaminya yang bekerja di luar negara. Episod kerjayanya bagaimanapun berganjak ke satu fasa lain setelah akhirnya mengambil keputusan tinggal bersama suami di luar negara.

“Saya menjadi lebih serius dalam perniagaan menjual beg tangan berjenama mewah apabila saya mengikut suami berpindah ke luar negara. Di situlah juga saya mula terfikir untuk menjadi personal shopper (PS) atau pembeli peribadi beg mewah.

“Jadi, saya rasakan ketika itu keputusan saya untuk letak jawatan sebagai guru dan fokus kepada perniagaan dan menjadi PS tidak salah dan ada hikmahnya.

“Daripada sekadar minat, saya nampak yang ia boleh menghasilkan pendapatan lumayan dan keuntungan.

“Dalam erti kata lain, saya nampak daripada passion to profession (minat kepada profesion),” ujarnya.

Kerjaya PS juga memerlukan Nur Hanum untuk agak kerap ke luar negara.

Ditebak apakah itu kerjaya PS, Nur Hanum berkata, PS merupakan satu perkhidmatan membantu klien mendapatkan beg tangan idaman terutama yang sangat terhad, ‘rare’ dan sukar didapati di pasaran.

Katanya, menggunakan kepakaran sebagai PS, meskipun item tersebut begitu sukar untuk didapati dan sangat terhad, namun mereka berjaya mendapatkannya secara ‘worldwide’.

“Apa yang saya boleh kongsikan, kepakaran kami sebagai PS ini tidak ada pada semua orang.

“Kami akan membantu pelanggan terutama pencinta dan peminat beg tangan berjenama untuk mendapatkan item kegemaran mereka dan memfokuskan kepada barang (produk) yang susah untuk didapati,” katanya.

Dia yang kini sudah pulang ke Malaysia berkata, kerjaya PS juga memerlukan dia agak kerap ke luar negara untuk mendapatkan beg-beg mewah yang dimahukan pelanggan.

Mengulas mengenai adakah kerjaya ini menjamin masa hadapan, Nur Hanum menyifatkan ia sebagai subjektif.

Katanya, dari segi menjamin masa depan atau tidak, dia menyerahkan sepenuhnya kepada Maha Pencipta dan percaya rezeki Allah itu luas dan semuanya datang daripada-Nya.

Berkongsi cabaran, suka dan duka yang tidak pernah dilupakan sepanjang beberapa tahun bergelar PS, Nur Hanum berkata, dia juga tidak lari daripada ujian tersendiri dan itu menjadikan dirinya lebih matang serta berhati-hati.

“Kalau cerita bab cabaran dan kenangan yang tidak dapat dilupakan, saya pernah kehilangan beg tangan yang bernilai RM35,000 ketika membuat shipping (penghantaran) ke Sabah.

“Ketika itu hanya Allah yang tahu betapa takut dan gementarnya saya. Manakan tidak, beg tangan yang dipesan pelanggan itu bukan murah-murah dan tidak mudah didapati, tetapi alhamdulillah dengan kuasa viral dan izin Allah, beg tangan tersebut dapat ditemui semula dalam masa 24 jam.

“Hikmah daripada insiden itu, followers (pengikut) saya di Instagram semakin bertambah apabila ia turut dikongsikan di media sosial,” ujarnya yang membantu mendapatkan lebih 10 jenama mewah beg tangan.

Tambahnya, syarikatnya juga tetap akan bertanggungjawab dengan menjanjikan 100 peratus pulangan (refund) andai berlaku apa-apa yang tidak diingini sepanjang proses jual beli.

Jelas Nur Hanum lagi, mereka juga miliki sebuah private showroom (bilik pameran peribadi) di Kuala Lumpur sekali gus menjadikan pelanggan lebih yakin untuk membeli-belah.

Nur Hanum bersyukur biarpun sibuk menggalas peranan serentak sebagai usahawan, isteri dan ibu, dia tetap ada masa bersama keluarga.

“Alhamdulillah saya sangat bersyukur kerana ada support system yang sangat positif daripada keluarga terutama suami, ibu dan ayah.

“Selagi mana minat saya pada beg tangan ada, selagi itu saya akan teruskan perniagaan ini dan bergelar PS untuk bantu lebih ramai mendapatkan beg tangan idaman mereka,” katanya yang turut mempunyai impian membuka restoran, butik pakaian Muslimah selain miliki produk kosmetik dan minyak wangi keluarannya sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN