fbpx

7 pemain Kesa FC cederakan pemain lawan didenda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian tujuh pemain Kesa FC yang didenda kerana mencederakan tiga pemain dan pegawai NAG FC di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Tujuh pemain kelab bola sepak amatur, Kesa FC termasuk seorang penjawat awam didenda antara RM1,000 sehingga RM4,500 setiap seorang oleh Majistret di sini hari ini atas kesalahan mencederakan tiga pemain dan pegawai pasukan lawan sewaktu aksi Liga Bolasepak Terengganu (TFL) pada bulan lalu.

Kesemua tertuduh iaitu Ahmad Zaim Zahirulhaq Roslan, 24, Muhamad Supian Al Shaari, 29, Mohd. Zulkifli Abdullah, 36, Mohd. Hazwani Ab. Karim, 32, Tuan Faiz Hakimie Tuan Rosli, 29, Ahmad Najmie Adnan, 34, dan Wan Muhamad Aidid Ghazali, 22, turut berdepan hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Majistret Noor Mazrinie Mahmood dan Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri menjatuhkan hukuman demikian selepas mereka membuat pengakuan bersalah setelah pertuduhan dibacakan secara berasingan.

Muhamad Supian didenda RM4,500 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan, Mohd. Zulkifli RM3,000 (dua pertuduhan) manakala yang lain pula RM1,500 dan penjawat awam, Ahmad Najmie didenda RM1,000.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa mencederakan tiga lelaki berusia 18, 19 dan 36 tahun.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu sewaktu perlawanan TFL menemukan NAG FC dan Kesa FC di Padang Sintetik, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus pada pukul 11 pagi, 12 Januari lalu.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kosmo! Online 13 Januari lalu melaporkan perlawanan bola sepak melibatkan dua kelab amatur, NAG FC dan Kesa FC dalam aksi TFL bertukar kecoh dengan insiden pergaduhan melibatkan pemain dan pegawai kedua-dua pasukan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI