fbpx

Insken bimbing 9,861 usahawan, catat jualan RM13.3 juta sepanjang 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara usahawan yang mengikuti program latihan dan bimbingan Insken bagi tahun 2023.

PETALING JAYA – Institut Keusahawanan Negara Berhad (Insken) berjaya memberi latihan dan bimbingan kepada 9,861 usahawan menerusi 280 program dengan mencatatkan peningkatan hasil jualan sebanyak RM13.3 juta bagi tahun 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Insken, Muhd. Firdaus Azharuddin berkata, pencapaian itu sekali gus membuktikan program latihan dan bimbingan yang diberikan adalah relevan dan bertepatan dengan kehendak semasa.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 20 Program Bumiputera Business Coaching (IBBC) melibatkan 549 peserta menghasilkan jualan sebanyak RM12.9 juta, manakala empat Program Bimbingan Keuntungan Menu (188 peserta) merekodkan RM429,000.

“Secara keseluruhan, usahawan dalam program bimbingan Insken berjaya mencatatkan RM13.3 juta hasil jualan serta 33 usahawan bertukar status perniagaan daripada mikro kepada kecil,” katanya pada sesi taklimat pencapaian Insken 2023 secara maya, hari ini.

Muhd. Firdaus.

Selain program bimbingan, jelasnya, sebanyak 239 program latihan dianjurkan pada tahun lalu dan 9,170 usahawan dilatih meliputi aspek jualan dan pemasaran, kewangan, operasi serta pengurusan perniagaan.

“Kita telah mengadaptasi pendekatan ‘Tracer Study’, bagi mengukur hasil latihan selepas 30 hari dan mendapati bahawa peserta kursus berjaya meningkatkan jualan sebanyak tiga kali ganda,” ujarnya.

Pada masa sama, Muhd. Firdaus berkata, pencapaian Insken juga didorong oleh kerjasama dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Lembaga Zakat Selangor, Public Islamic Bank dan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia Sabah.

Justeru, kata Muhd. Firdaus, usaha tersebut akan diteruskan pada tahun ini dengan sasaran untuk penyertaan 7,967 usahawan melalui 233 program latihan dan bimbingan serta penambahan program baharu berkaitan pemfailan cukai.

Bagi tahun ini, Muhd. Firdaus memberitahu, Insken mensasarkan peningkatan hasil sebanyak 25 peratus meskipun mengakui masih banyak kekurangan dari segi memberikan ilmu asas kepada usahawan.

“Jadi, Kursus Asas Keusahawanan dan Kursus Asas Industri akan lebih banyak dijalankan selain Kursus Pembangunan Produk.

“Ini kerana, kebanyakan usahawan hanya memberikan tumpuan kepada aspek pengeluaran dan menyebabkan terdapat lambakan produk yang tidak terjual di pasaran,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai kesemua program latihan dan bimbingan boleh didapati melalui laman web rasmi Insken. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI