fbpx

Rafizi masuk hospital jalani pembedahan tulang belakang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rafizi.

PETALING JAYA – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan beliau kini sedang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Putra Malaysia akibat mengalami masalah tulang belakang.

Rafizi dalam hantaran di Facebooknya berkata, beliau baru sahaja selesai menjalani pembedahan memotong sebahagian ligamen dan slipped disc (untuk membuka ruang kepada saraf) setelah disahkan menghidap masalah stenosis.

“Di minggu ketiga Januari 2024, saya kena Covid-19 (buat kali pertama). Saya tidak pernah kena sebelum itu. Akibat terlantar beberapa hari, tekanan ke atas tulang belakang menyebabkan berlaku slipped disc.

“Keadaannya memuncak selepas beberapa minggu sehinggakan saya tidak lagi boleh berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda. Sakitnya memang ke langit.

“Diagnosis dari MRI (imbasan pengimejan resonans magnetik) menunjukkan tulang belakang saya mempunyai masalah stenosis, iaitu ada tekanan dari slipped disc (yang menekan saraf dari depan) dan dari ligamen yang memegang tulang belakang sehingga ruang saraf mengecil dan ditekan berpanjangan.

“Alhamdulillah, pembedahan untuk memotong sebahagian ligamen dan slipped disc (untuk membuka ruang kepada saraf) berjalan baik dan saya telah boleh berjalan semula,” katanya.

Menurut Rafizi, pada Oktober tahun lalu, beliau diserang serangan jantung dan telah mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

“Saya tidak fikir ia disebabkan tekanan kerja dan seumpamanya, lebih kepada keadaan kolesterol saya yang memang tinggi sejak saya muda. Setelah berpuluh tahun hidup dengan kolesterol yang tinggi, sudah tentu ada saluran darah yang tersumbat.

“Alhamdulillah, prosedur untuk membuka saluran darah di jantung yang tersumbat berjalan dengan baik,” jelasnya.

Selain itu, mengulas lanjut mengenai perkembangan terkini podcast Yang Bakar Menteri (YBM), Rafizi memberitahu program tersebut akan bersambung semula pada Mac depan.

“Malam ini, sepatutnya podcast YBM ke udara (seperti siaran biasa malam Isnin setiap dua minggu). Tetapi saya di hospital untuk tempoh dua minggu lagi selepas menjalani pembedahan tulang belakang.

“Oleh itu, insya-Allah YBM akan kembali bersiaran dalam bulan Mac 2024,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan menziarahi Rafizi di hospital.

Dalam perkongsian di Facebook beliau, Anwar mendoakan Ahli Parlimen Pandan itu diberikan kesembuhan segera. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI