fbpx
SHAHRONIZAM bersyukur dianugerahkan keluarga dan rakan industri yang tidak putus membantu sepanjang diuji dengan penyakit kanser. - SYAKIR RADIN

’Saya disaran jalani enam kitaran kemoterapi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Masih menjalani rawatan susulan kanser tulang belikat, pelakon Shahronizam Noor bersyukur meraih sokongan rakan seperjuangan dan produksi sepanjang berdepan tempoh sukar.

Akui aktor berusia 53 tahun itu, suntikan semangat insan sekeliling bukan hanya dari segi moral, bahkan menghulurkan bantuan kewangan selain berkongsi panduan menjaga kesihatan selepas disahkan mempunyai tumor sekitar Ogos tahun lalu.

“Saya bersyukur mempunyai sistem sokongan yang kuat termasuk selebriti senior yang bertanya khabar, telefon dan mesej. Mereka tanya keadaan saya dan sebagainya.

“Mungkin mereka nampak saya macam baik-baik sahaja. Tetapi kita sendiri tahu bagaimana keadaan badan kita, lebih-lebih lagi apabila berdepan situasi ini.

“Perkara itu memang membuatkan saya terharu apabila ada kawan-kawan sanggup susah bersama saya dan cuba memudahkan urusan saya.

“Sudah tentu keluarga juga jadi peniup semangat utama untuk saya terus kuat,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran drama bersiri, Bidadari Tanpa Syurga, di sini, semalam.

Mengenai rawatan susulan Shahronizam berkata, dia dijadual menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT scan) pada 9 Julai depan sebelum bertemu pakar onkologi pada 22 Julai bagi melihat perkembangan kanser.

Pada masa sama, pelakon itu berkata, doktor juga mencadangkan untuknya menjalani kemoterapi sebagai langkah rawatan pemulihan yang lebih berkesan.

“Mungkin daripada CT scan itu nanti kita boleh lihat bagaimana perkembangan atau status kanser itu. Sebelum ini, doktor onkologi mencadangkan supaya saya menjalani kemoterapi.

“Rawatan kemoterapi dicadangkan adalah sebanyak enam kitaran. Setiap kitaran memerlukan saya dimasukkan ke hospital selama lima hari sebelum berehat selama tiga minggu untuk meneruskan kitaran seterusnya.

“Proses itu akan berterusan sehingga enam kitaran dan mengambil masa sekitar enam bulan. Jadi, kalau saya mula menjalani kemoterapi, agak sukar untuk saya bekerja seperti biasa,” ujarnya.

Pada masa sama, suami kepada pelakon dan penyanyi Safura itu turut berusaha melakukan ikhtiar sampingan iaitu menerusi rawatan alternatif.

“Bukan setakat rawatan moden sahaja yang saya lakukan, saya juga berikhtiar melalui rawatan tradisional dengan ambil air penawar,” katanya.

Mengenai pembabitannya dalam drama 12 episod yang memulakan siaran di Viu semalam , Shahronizam mengakui teruja meraih kepercayaan Global Station serta Viu Original.

“Saya bersyukur pengarah dan produksi memahami keadaan saya selepas pembedahan tulang apabila aksi lasak atau sentuhan fizikal yang berat disesuaikan dengan kemampuan fizikal saya.

“Ada babak tertentu saya tidak dapat lakukan seperti dahulu. Semua pelakon serta pihak penerbitan sangat bertolak ansur,” katanya.

Selain Shahronizam, drama bersiri arahan Jamal Khan itu turut dibintangi Datuk Aaron Aziz, Nadiya Nisaa, Syad Mutalib, Lorenzo Irmann serta Idzham Ismail.

Terdahulu, tahun lalu aktor serba boleh itu disahkan menghidap kanser tulang rawan tahap dua selepas mengalami sakit belakang yang kronik.

Sehubungan itu dia menjalani pembedahan membuang tumor di bahagian kanan belakang badannya di sebuah hospital pada Oktober 2025. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN